Thursday, January 29, 2009

Menjawab persoalan yang dibangkitkan di blog KOMUNITI SIAM BARU.

Pihak mana yang tak ada kesungguhan? Menteri Dalam Negeri atau PDRM atau Wisma Putra?

Pihak yang selalu membuat sidang media tetapi lambat mengambil tindakan. Laporan melalui media jauh ke depan tetapi tindakannya belum dilaksanakan lagi.

Apa yang hendak dikesalkan? Menteri bukan Tuhan yang boleh selesaikan masalah dalam sekelip mata.

Memang kesal sebab cakap tak serupa bikin. PSK akui Menteri bukan Tuhan sekurang-kurangnya cakap biarlah betul. Buat kata buat, tak buat kata tak buat. Nak tolong ke tak mau tolong ke, terus terang aje la. PSK boleh minta tolong pihak lain pula. Datuk Azeez juga sudi nak tolong tapi tak mau bertindih dengan tindakan pihak lain.

Amboi, remaja hilang pun nak jumpa Timbalan Perdana Menteri! Buat macam TPM tak ada kerja lain. Banyak lagi kerja besar yang sedang menunggu TPM.

Selaku pemimpin Siam perlu berfikir di luar kotak pemikiran. Jangan hanya fikir perkara yang biasa berlaku sahaja. Ia tak akan mendatangkan idea-idea baru yang boleh membantu. Bukannya bagi TPM buat kerja cuma bagi beliau pulas/tekan sikit minyak tu barulah jentera mula bergerak laju. Lagipun Bun Yin dah hubungi kawannya selaku pegawai tugas-tugas Khas kepada TPM.

Seseorang yang tidak bernama hantar e-mail kepada aku mengatakan PSK sengaja nak cari publisiti murahan. Nak jadi hero Siam Kedah. PSK nak memalukan Persatuan Siam Malaysia (PSM), kononnya tak prihatin dengan masalah orang Siam. Penubuhan PSK semata-mata nak bersaing dengan PSM.

PSK tak pernah berniat untuk bersaing dengan mana-mana pihak. PSK hanya melakukan perkara yang boleh membantu masyarakat Siam sahaja. PSK juga tidak merebut tugas mana-mana pihak. Pihak PSK hanya melakukan tugas yang tidak dilakukan atau tidak diberi perhatian oleh pihak lain sahaja. Pihak PSK tidak ada niat untuk menjatuhkan sesiapa. Hanya ingin membantu keluarga adik Tan Hui Ming sahaja.

Tan Hui Ming ialah remaja Cina. Walaupun ibunya keturunan Siam, tetapi bapanya Cina. Keturunan seseorang dikira daripada sebelah bapa. Namanya pun Tan Hui Ming. MCA, Gerakan dan puluhan persatuan Cina tak rasa apa-apa pun dengan kehilangan remaja ini, sebaliknya Persatuan Siam Kedah yang panas buntut jadi seperti cacing kepanasan. Sifat keprihatinan PSK, kata penghantar e-mail itu lagi, kalau betul-betul ikhlas adalah dipuji tetapi janganlah sampai lebih senduk dari kuah. Nampaknya PSK betul-betul akan jadi lawan PSM.

Kalau begitu, tak payah lagi kita bantu anak Senator ke 2 jika ada masalah. Tak payah la kita bantu anak Presiden PSM jika diculik atau dirogol. Kita tengok dalam wat kita di seluruh Malaysia siapa yang sponsor, bukankah kebanyakkan orang Cina. Dalam wat Cina pula, ada tak nama Siam tertera sebagai penyumbang? Kenapa nak bezakan Cina dan Siam. Sesiapa ada masalah, PSK akan bantu jika mereka memerlukan pertolongan PSK. PSK tak ada niat nak lawan PSM. PSM dah kukuh dari segi kewangan, pengaruh Sami, pengaruh menteri dan sebagainya. PSK hanya baru belajar merangkak. Merangkak untuk membantu masyarakat Siam negeri Kedah setakat mampu.

HARAP MAAF KEPADA MEREKA YANG TIDAK SENANG DENGAN TINDAKAN PSK MENYELAMATKAN ADIK TAN HUI MING.

Wednesday, January 28, 2009

Pengerusi PSK dan Pengerusi PEKEMAS mengadap Ketua Sami Kedah/Perlis.


Setelah mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemimpin-pemimpin Masyarakat Siam di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26.1.2009 jam 3.30 ptg, pihak PSK dan PEKEMAS yang diketuai oleh Sdr. Bun Yin a/l Ai An dan Sdr. Manit See Nam serta barisan jawatankuasanya pergi mengadap Ketua Sami Kedah/Perlis iaitu Ven. Phraraj Thammathada di Wat Paya Mak Inson.

Tujuannya adalah untuk memaklumkan tentang kejadian kes culik adik Tan Hui Ming oleh warga Myanmar dan telah dilarikan ke Myanmar kepada Than Chau Khun Ketua Sami Kedah/Perlis. Pihak PSK juga memohon kerjasama pihak Ketua Sami Kedah/Perlis bagi membantu dalam perkara ini untuk mendapatkan dana bagi mengisi Tabung Kebajikan Masyarakat Siam yang diwujudkan oleh pihak PSK dengan kerjasama PEKEMAS.


Kenapa berita kes culik TAN HUI MING melalui website PEKEMAS didelete?

Kenapa artikel TAN HUI MING didelete melalui website rasmi Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (PEKEMAS)?

Kes ini merupakan kes besar yang berlaku dalam masyarakat Siam di Kedah. Masyarakat Siam merupakan kaum minoriti yang kurang mendapat tempat atau perhatian daripada mana-mana pihak atasan. Kami terpaksa berusaha sendiri termasuklah publisiti melalui website yang kami bina sendiri.

Tujuan kami ialah ingin memohon bantuan semua pihak dalam usaha-usaha bagi membantu adik Tan Hui Ming yang diculik oleh warga Myanmar. Bukannya menganggu ketenteraman awam yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Saya harap pihak berkuasa dapat memberi keadilan dalam perkara ini kepada masyarakat Siam yang dianggap minoriti ini.

Thursday, January 22, 2009

Perjumpaan Pemimpin Siam Seluruh Malaysia.

Persatuan Siam Kedah (PSK) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (PEKEMAS) akan mengadakan MESYUARAT KHAS PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT SIAM MALAYSIA di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26.1.2009 jam 3.30 petang.
Semua pemimpin masyarakat Siam seluruh Malaysia dijemput hadir beramai-ramai untuk berbincang tentang langkah-langkah yang akan diambil bagi membantu keluarga mangsa kes penculikan anak gadis Siam Kg. Chong, Sik, Kedah oleh PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) Myanmar.
Maklumat terbaru, mangsa yang berumur 13 tahun 1 bulan telah dibawa masuk ke Myanmar melalui Kancanaburi, Thailand.
Bapa mangsa akan bertolak ke Bangkok pada 27.1.2009 ini untuk berbincang dengan pihak Kedutaan Malaysia di Thailand di atas perlawaan pihak kedutaan setelah dihubungi oleh keluarga mangsa. Menurut pihak kedutaan Malaysia di Thailand, mereka belum mendapat sebarang maklumat daripada pihak berkuasa di Malaysia dalam perkara ini.
Saya agak terkilan sebab YB Datuk Seri Chor Chee Heong selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri sudah berjanji semasa Sidang Media di Wisma MCA pada 17.1.2009 yang lalu akan berbincang dengan PDRM di Bukit Aman dan juga akan memohon bantuan pihak kedutaan Malaysia di Thailand dan Myanmar serta mendapat bantuan pihak Polis Interpol dan juga Wisma Putra.
Kita selaku rakyat Malaysia keturunan Siam yang dianggap minoriti di Malaysia haruslah bersatu-padu dan berganding bahu bagi menyelamatkan anak-anak Siam kita yang teraniaya.
Kita jangan harap kepada pihak berwajib untuk membantu sekiranya masyarakat kita sendiri tidak mengambil peduli. Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Siam seluruh Malaysia supaya dapat hadir ke perjumpaan tersebut.

Tuesday, January 20, 2009

Budak Siam hilang ditipu PATI Myanmar.

Semasa saya sedang mengendalikan Mesyuarat Jawatankuasa PEKEMAS di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 9.1.2009 jam 9.00 malam, saya telah menerima satu panggilan daripada pemimpin masyarakat Siam Kg. Chong, Sik, Kedah berkenaan kes seorang budak Siam dilarikan oleh PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) warga Myanmar.


Pada 10.1.2009 saya hubungi pemimpin tersebut melalui hp untuk mendapat maklumat lanjut. Saya sarankan agar mereka hubungi Sekretariat Putera UMNO dan Datuk Abdul Aziz selaku Pengerusi Putera UMNO untuk memohon bantuan. Mereka maklumkan bahawa semua pemimpin UMNO sibuk berkempen di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

Pada 14.1.2009, selepas dari waktu bekerja saya terus memandu kereta ke Kg. Chong, Sik, Kedah untuk berjumpa dengan keluarga mangsa untuk mendapat maklumat lengkap tentang kehilangan anaknya. Saya diberitahu oleh bapa mangsa bahawa suspek namanya Kamble PATI warga Myanmar bekerja di ladang getah FELCRA berdekatan kampong mereka dan sering datang makan di warung mereka di Kg. Chong. Mangsa juga selalu datang membantu mereka berniaga warung kecil di Kg. Chong. Mereka tidak sangka suspek ada niat jahat ingin melarikan anak gadis mereka yang berumur 13 tahun 1 bulan.

Bapa mangsa memaklumkan kepada saya bahawa pada 30.12.2008 jam 6.00 petang bapa mangsa diberitahu oleh mertuanya setelah selesai berniaga tentang kehilangan anaknya sejak jam 3.00 petang. Bapa mangsa telah berusaha mencari di merata-rata tempat di sekitar kampong tersebut tetapi tidak jumpa. Setelah 24 jam anaknya hilang maka ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jeniang pada 31.12.2008 jam 5.15 ptg.

Butir-butir berkenaan mangsa ialah namanya TAN HUI MING (951206-02-6112) umurnya 13 tahun 1 bulan. Bapanya bernama TAN BENG SEONG, 39 tahun dan ibunya bernama E RIK A/L AI BUN, 35 tahun. Alamat Kg. Kubang Lintah Mk. Jeneri, Sik, Kedah. Tinggi lebih kurang 4 kaki 5 inci bertubuh gempal, rambut paras bahu dan warna kulit kuning langsat. Semasa keluar rumah mangsa memakai baju T-Shirt putih (di dalam) dan baju sejuk berbelang putih hitam (di luar) dan berseluar jean pendek. Semasa keluar rumah tiada sebarang pakaian, wang dan Kad Pengenalan di bawa bersama.

Pada 2.1.2009 bapa mangsa meminta bantuan Pengerusi JKKKP Kg. Chong. Pengerusi JKKKP Kg. Chong bersama RELA Kg. Chong telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak tersebut di kawasan sekitar selama beberapa hari tetapi gagal.

Pada 6.1.2009 jam 11.00 malam, semasa mereka sedang berbincang dengan Pengerusi JKKKP Kg. Chong, bapa mangsa menerima satu panggilan dan suara anaknya yang bercakap melalui talian tersebut tetapi nombor talian tersebut tidak papar di skrin handphone bapa mangsa. Mangsa memaklumkan bahawa beliau berada di Thailand dan ingin pulang.

Pada 7.1.2009, pihak JKKKP dengan bantuan RELA menyerbu rumah pekerja ladang FELCRA untuk mendapat maklumat dan nombor telefon Thailand yang boleh menghubungi suspek yang membawa lari kanak-kanak tersebut. Mereka berjaya mendapat nombor handphone saudara suspek yang bekerja di Pulau Pinang. Dengan bantuan bapa saudara kepada ibu mangsa di Pulau Pinang maka maklumat suspek diperolehi iaitu Namanya KAMBLE tinggal di Gambau, Myanmar iaitu 3 hari perjalanan dari Yanggon. Nombor handphone yang boleh dihubungi ialah rumah kakaknya yang berkahwin dengan orang Thailand dan tinggal di Samut Prakarn, Thailand iaitu 0804283935.

Pada 8.1.2009 Pengerusi JKKKP Kg. Chong bersama bapa mangsa pergi membuat laporan polis susulan di Ibu Pejabat Polis Sik. Mereka juga cuba menghubungi nombor telefon tersebut di mana bapa mangsa dapat berbual dan bertanya hal anaknya dan menceritakan kepada anaknya apa yang terjadi ke atas dirinya yang telah diculik. Baru kanak-kanak itu sedar dan ingin pulang ke pangkuan ibubapanya. Pada masa itu juga Pengerusi JKKKP Kg. Chong sempat berbual dengan suspek dan merayu supaya suspek dapat membawa kanak-kanak tersebut pulang. Tetapi suspek enggan membawa kanak-kanak tersebut pulang dan menyatakan ingin berkahwin dengan mangsa di Myanmar.

Pada hari yang sama (8.1.2009) mangsa menelefon ibunya dan mencerita bahawa dia di bawa masuk ke Thailand melalui satu agen haram di Alor Setar didalangi oleh seorang Myanmar dengan menaiki van ke sempadan Bukit Kayu Hitam. Apabila sampai di sempadan dia di bawa masuk ke Thailand dengan menaiki motosikal dibayar dengan RM10 seorang untuk melepasi sempadan dan ada sebuah van yang mengambil dia dan suspek tersebut di Thailand. Dalam perjalanan tersebut, kanak-kanak itu menceritakan yang mana amat jauh perjalanan iaitu memakan masa 20 jam perjalanan. Apabila sampai di tempat tersebut iaitu satu kawasan penempatan pekerja kilang, dia tidak langsung memahami bahasa percakapan penghuni di situ.

Dalam masa itu juga, abang ipar kepada suspek dapat berbual dengan Pengerusi JKKKP Kg. Chong dan dalam perbualan tersebut Pengerusi JKKKP Kg. Chong merayu kepada abang ipar suspek supaya menghantar pulang kanak-kanak tersebut. Pengerusi JKKKP Kg. Chong juga bertanya tempat lokasi dan diberitahu di kawasan Industri di Samut Prakarn, 50 km dari Bangkok.

Dalam beberapa hari ibubapa mangsa menghubungi anaknya bertanya khabar dan memujuk supaya dia dibawa pulang. Pada 11.1.2009 bapa mangsa menghubungi lagi dan diberitahu bahawa kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Myanmar dan sampai kini kanak-kanak tersebut tidak dapat dihubungi.

Setelah saya berbincang dengan kawan-kawan di RTM maka satu Sidang Media diaturkan di bilik berita RTM pada 15.1.2009 jam 10.30 pagi. Pada hari tersebut jam 6.00 petang berita RTM1 menyiarkan laporan tentang kes tersebut dan pada keesokan hari pula kes ini disebarkan melalui beberapa akhbar tempatan.

Pada 16.1.2009, YB Datuk Seri Chor Chee Heong, Timbalan Menteri Dalam Negeri menghubungi saya melalui kawan-kawan media dan menyatakan beliau ingin berjumpa dengan keluarga mangsa dan seterusnya mengadakan Sidang Media di Wisma MCA Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah pada 17.1.2009 jam 11.00 pagi.

YB Datuk Seri Chor Chee Heong, Timbalan Menteri Dalam Negeri berjanji akan berbincang dengan pihak PDRM Bukit Aman, Interpol, Wisma Putra dan juga minta bantuan kedutaan Malaysia di Thailand dan Myanmar bagi membantu mencari mangsa yg dibawa lari oleh PATI warga Myanmar.







Monday, January 12, 2009

Mesyuarat Jawatankuasa PEKEMAS.

Pada 8.1.2009 jam 7.00 mlm, saya pergi berjumpa dengan Phrakhru Thammabal Phem untuk meminta kebenaran menggunakan dewan wat bagi mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa PEKEMAS dan juga Mesyuarat Jawatankuasa PSK pada 9.1.2009 jam 8.30 malam. PEKEMAS dan PSK akan berjalan seiring.

Pada 9.1.2009 jam 2.00 ptg saya, En. Chai dan En. Bunyin ke Kg. Padang Peliang untuk mengangkut almari yang disumbangkan oleh En. Chai kepada Pusat Belia dan Kebudayaan Siam bagi menyimpan peralatan Menora dan alat-alat musik tradisional.

Pada 9.1.2009 jam 8.00 malam, saya mengendalikan Mesyuarat Jawatankuasa Pekemas bil 3. Selepas itu, En. Bunyin mengendalikan Mesyuarat Jawatankuasa PSK Bil 2. Mesyuarat tamat pada jam 11.30 malam.

Selepas mesy. kami seramai 8 orang pergi pekena nasi goreng kedai petani di hadapan SMK Sg. Tiang. Kami sembang sampai 1.00 pg, jam 2.00 pagi sampai rumah.. tidur.

Pada 10.1.2009 jam 10 pagi, saya terus ke Kedai Printing di Pekan Baling untuk melihat proses edit LOGO PSK supaya ia siap sebelum AGM pada 13 Mac ini. Dalam perjalanan pulang ke Dangsing, saya singgah bersembang dengan Setiausaha JKKKP Kg. Kalai. Bermacam-macam isu kami bincang berkaitan khonthai Kedah. Tujuan saya hanya ingin mendapat maklumat tentang sosio-politik Khonthai Kedah secara detail dan memudahkan saya untuk membuat keputusan setiap tindakan saya yang saya ambil.

Rombongan ke Khuan Niang, Songkhla, Thailand.


Rombongan ke Khuan Niang, Songkhla, Thailand pada 3.1.2009

Pada 3.1.2009 jam 6.00 pagi saya bertolak dari Kg. Thai Pegang ke Kg. Padang Peliang untuk mengambil En. Chai (Guru Menora) seterusnya saya ke Wat Padang Pusing untuk mengambil Phra Acharn Chamreang untuk ke Songkhla, Thailand. Dalam perjalanan ke Bukit Kayu Hitam saya call kepada En. Osman (anak angkat Tun Dr. Mahathir) untuk membantu urusan di sempadan semasa bawa peralatan menora masuk dari Thailand.

Sebelum sampai di pintu sempadan Malaysia - Thailand, kami singgah tukar mata wang Malaysia ke Thailand dan membeli insuran kereta saya. Bila sampai di sempadan Malaysia, kami bercadang hanya saya dan En. Chai sahaja cop border pass. Sementara Phra Acharn Samreang tak perlu sebab beliau dapat visa 3 bulan rekemen daripada Than Chau Khun Maison dan perlu dapatkan di Songkhla. Visa beliau masih tinggal 2 bulan lagi. Kami akan cakap kat pegawai Imigresen bahawa kami hantar sami sampai setakat Duty Free je tak perlu cop. Pegawai Imigresen baru tu tak percaya minta tengok passport terus dia cop keluar.

Maka visa 3 bulan pun lingkup. Kena mohon visa baru daripada kedutaan Malaysia di Songkhla dengan rekemen Than Chau Khun Maison. Sebelum itu, Phra Acharn Chamreang kena tidur di Thailand selama 2 malam baru boleh masuk balik ke Malaysia.Pening juga dibuatnya. Bila sampai kat Border Thailand hanya kami 2 orang yang cop termasuk kereta didaftar masuk ke Thailand. Phra Acharn tak cop masuk Thailand sebab beliau ada IC Thailand. Saya nampak beliau susah hati sepanjang jalan. Dari border Dannok saya terus memandu kereta ke arah Pattalung. Bila sampai dipersimpangan di Khuha, saya belok kanan menuju ke arah Pekan Khuan Niang. Saya sampai di rumah En. Tham Thongchumnum (tukang membuat gendang dan peralatan menora) sekitar jam 12.00 tengahari. Bila urusan jual beli peralatan menora selesai, kami beredar dari situ dan berhenti makan di kedai makanan di Pekan Khuan Niang sebab masa makan mesti tepat kerana khuatir terlajak masa maka sami pun takleh makan.

Seterusnya saya memandu memasuki bandar Hadyai untuk urusan Phra Acharn Chamreang. Beliau ingin membeli peralatan PA System yang digunakan di Wat Padang Pusing. Beliau pakar dalam bidang elektronik dan mempunyai set PA system sendiri. Bila sampai di salah sebuah kedai elektronik di Hadyai, kami agak terkejut apabila ada seorang pekerja wanita yang cantik di kedai tersebut datang memeluk En. Chai. Rupa-rupanya wanita yang cantik tersebut merupakan anak kepada kakak En. Chai yang tinggal di Nathawi. Bapa En. Chai dulunya kaki betina juga dan datang tinggalkan sebutir benih kat Thailand. Maka benih ini dah semakin bertambah menjadi banyak.

Selesai urusan di Hadyai, saya terus memandu dan singgah di Pekan Sadao untuk mencari barang-barang elektronik yang masih tak cukup. Setelah selesai maka kami pun bertolak ke Dannok dan En. Chai pun berhenti membeli belah barang2 yang dipesan oleh orang rumah. Setelah semua selesai kami pun cop keluar daripada Thailand ke Malaysia. Masalah tidak wujud di Thailand cuma wujud di sempadan Malaysia. Sebaik sahaja sampai kat Border Malaysia, saya nampak En. Osman dan pegawai SB sedang menunggu saya. Masalah bawa barang-barang peralatan Menora dari Thailand ke Malaysia menjadi mudah. Tetapi satu lagi masalah yang belum selesai iaitu masalah Visa Phra Acharn Chamreang. Saya pun minta bantuan Pegawai Imigresen, beliau adalah kenalan saya. Kebetulan juga beliau bekerja pada hari itu. Saya cerita kat beliau A sampai Z. Beliau pun pergi cari balik visa tadi dan batalkan cop masuk yang dilakukan staf beliau pagi tadi.

Maka kedua-dua masalah dapat diselesaikan dengan baik. Peraturan tetap peraturan tetapi sikap bertolak ansur juga perlu ada. Sebelum meneruskan perjalanan balik ke rumah, kami berhenti makan di Napoh untuk belanja makan kepada En. Osman sebagai tanda terima kasih. Saya sampai di rumah pada jam 9.00 malam setelah bawa peralatan Menora simpan di pejabat PEKEMAS di Kg. Padang Peliang. Inilah cari pasal ke 2 saya pada tahun ini.

Melawat mangsa kebakaran.

Pada 1.1.2009 jam 9.00 pagi saya mendapat call drp Sdr. Bunyin memaklumkan bahawa Pengerusi JKKKP Kg. Tanah Merah, Padang Terap menghubungi beliau dan memaklumkan tentang tragedi kebakaran rumah seorang penduduk kampung tersebut. Selaku pemimpin PSK, kami perlu mengambil perhatian dalam perkara ini. Lalu pihak kami membuat keputusan melawat mangsa kebakaran.

Sebelum itu, saya sms untuk memaklumkan kepada semua AJK PSK tentang tindakan yg diambil. Saya minta kebenaran daripada boss dan terus ke rumah Sdr. Bunyin untuk mengambil beliau dan terus ke Kg. Tanah Merah. Setiba dipertengahan jalan, sdr. Tang Edam selaku Bendahari PSK menghubungi saya dan beliau memaklumkan bahawa beliau tunggu kami di Pekan Kuala Nerang. Saya, Bunyin dan Tang tiba di tempat kejadian pada jam 1.30 petang. Pihak kami disambut oleh Pengerusi JKKKP Kg. Tanah Merah bersama-sama jawatankuasanya.

Pihak kami juga sempat berjumpa dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Padang Terap. Kami pun berinteraksi dengan pegawai kebajikan bagaimana pejabat kebajikan boleh membantu mangsa kebakaran. En. Iproom juga telah mencerita dengan detail mengenai tragedi kebakaran tersebut. Kata En. Iproom, semasa kebakaran pada 30.12.2007 lebih kurang jam 4.00 ptg mereka tiada di rumah kerana pergi ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapat rawatan susulan cicitnya yg mengidap penyakit jantung berlubang. Orang kampung sedar berlakunya kebakaran apabila api naik marak sampai ke bumbung. Pihak bomba yg dihubungi juga tidak dapat ke tempat kejadian kerana jalan masuk kampung sempit.

Pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Padang Terap datang memberi bantuan awal seperti memberi makanan dan pakaian dan seterusnya wang ehsan sebanyak sekitar RM3050.00 menurut makluman daripada salah seorang pegawainya. Pihak JPA3 bersetuju membina sebuah rumah baru dengan kos sebanyak RM18,000 daripada Pejabat Pembangunan Negeri (ICU, JPM) yang dibina secara gotong royong oleh pihak JPA3. Pihak ahli politik dan orang-orang kampung juga menghulurkan sumbangan.

Pihak PSK, walaupun setahun jagung ditubuhkan dan kekurangan sumber kewangan juga menghulurkan sedikit bantuan kewangan yang disampaikan oleh Sdr. Bunyin selaku Pengerusi PSK. Pihak PSK juga memberi surat sokongan kepada mangsa kebakaran untuk memohon bantuan daripada pihak-pihak tertentu.Selepas dapat membantu sesama khonthai rasanya senang hati sangat-sangat walaupun sumbangan tersebut tidak seberapa. Sekiranya PSK mempunyai kewangan yang kukuh, banyak perkara yang PSK dapat membantu khonthai di Kedah.