Thursday, March 17, 2011

Asam garam politik kampung.

Saya telah bertukar tempat bertugas dari Perak ke Alor Setar, Kedah pada 1 Ogos 2008. Di Kedah, saya tumpang selama setahun di rumah ibu bapa saya sebelum saya berpindah ke tempat tinggal saya sekarang.

Pada Mei 2010, pemimpin kampung tersebut minta bantuan saya untuk menganjurkan Konsert Amal untuk mencari dana pembinaan bangunan Sekolah Bahasa Siam. Pada 30 – 31 Mei 2010, konsert Amal berjaya dianjurkan. Pihak kami berjaya memperolehi dana lebih daripada RM12 ribu. Jumlah ini tidak termasuk pendapatan Lucky Draw dan jual barangan yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Sekolah Bahasa Siam.

Pada Jun 2010, Komuniti BESTARI masyarakat Siam telah ditubuhkan di bawah Jabatan Penerangan Malaysia. Projek pertama Komuniti BESTARI ialah penganjuran Pesta Loy Krathong 2010. Saya telah memanggil semua ketua-ketua kampung di seluruh daerah untuk berbincang selaku penyelaras Komuniti BESTARI tersebut.

Akhirnya keputusan mesyuarat memutuskan salah satu kampung dipilih untuk menganjurkan pesta ini dengan peruntukan Jabatan Penerangan Negeri Kedah sebanyak RM9 ribu. Kebetulan pula saya tinggal di kampung tersebut. Oleh itu, saya tidak boleh elak daripada tidak melibatkan diri. Tambahan pula, pemimpin di kampung tersebut mengharapkan saya membantu beliau untuk menjayakan pesta ini. Pihak majikan juga mengarahkan saya memantau penganjuran pesta ini agar menepati kehendak dan matlamat jabatan.

Akhirnya Pesta Loy Krathong 2010 berjaya diadakan pada 21 November 2010. Pihak jawatankuasa Sekolah Bahasa Siam memperoleh keuntungan lebih daripada RM5 ribu hasil jualan Krathong. Pihak Komuniti BESTARI pula mempunyai lebihan perbelanjaan sebanyak RM4 ribu. Saya rasa penganjuran pesta ini sangat adil kerana semua pihak masing-masing mendapat manafaat.

Tetapi malangnya, masih ada segelintir individu tidak berpuas hati dengan penganjuran pesta ini. Mereka cuba sedaya upaya menggagalkan program ini. Dengan kecekalan yang ada, pihak kami berjaya menganjurkannya. Sehinggalah tabung Sekolah Bahasa Siam semakin bertambah.

Ekoran daripada itulah, rumah saya sentiasa menjadi sasaran. Pada mulanya mereka membaling mercun bola sekitar jam 2 hingga 3 pagi. Sehingga anak-anak saya terkejut daripada tidur. Saya tak hiraukan perbuatan mereka. Saya anggap ia tidak menggugatkan keselamatan kami sekeluarga.

Sekitar bulan Januari, 2011, ada pihak telah membuang bangkai anjing mati di belakang rumah saya. Keadaan busuk tak terhingga. Nasib baik keluarga saya sudah pindah balik ke baling. Hanya saya dan anak sulung sahaja tinggal di rumah tersebut. Setiap pagi saya hantar anak ke sekolah dan saya ke tempat kerja. Saya jarang berada di rumah maka masalah busuk tidak menjejaskan kami.

Mereka juga menghasut orang-orang kampung seolah-olah saya ingin menjadi pemimpin di kampung mereka. Pantang ada majlis keramaian, mereka akan ambil peluang ini untuk menghasut orang-orang kampung. Tujuan mereka adalah ingin menghalau saya keluar dari kampung mereka.

Kemuncak krisis ini, pada 10 Mac 2011 ada pihak telah melempar bungkusan cat merah ke kereta dan rumah saya. Saya sedari kejadian ini semasa saya hendak ke tempat kerja pada jam 7.00 pagi lalu saya membuat laporan polis.

Pada 16 Mac 2011 lebih kurang jam 8.10 malam, saya sekeluarga sedang bersembang dengan jiran di hadapan rumah tiba-tiba ada pihak melastik dengan guli ke arah kami bertalu-talu dari dalam gelap. Sekali lagi saya membuat laporan polis.

Inilah asam garam politik kampung yang berlaku dalam masyarakat Siam. Saya tulis artikel ini berkaitan diri saya bertujuan untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum saya tidak berpeluang menjelaskannya. Saya tidak tuju kepada mana-mana pihak dan tidak mengaibkan mana-mana individu. Maaf dari saya jika anda tersinggung.

Sunday, March 13, 2011

Painted warning signs..

On March 10, 2011, the house and my car has thrown red paint. I realized when I want to work at 7.00 am.

I think such actions should not be quite seem like the actions of gangsters. If you have any problems we can come to talk.

To my knowledge, this problem exists since my hosts Charity Concert, Pong Lang Sa Oon to find the school construction fund, and then hosts the Loy Krathong festival on 21 November 2010.

There are those who are not satisfied as if I want to lead the village people while I was coming from Kg. Padang Pusing.

I believe this incident is an act of bad boys are incited by certain parties with the aim for me out of their villages.

I hope the authorities to take immediate action on reports that I have to. Gangsterism practice to not spread among the youth of Siam.

Wednesday, March 2, 2011

Barisan Kepimpinan baru PSM.

1. Presiden: Siri Bin Neng Buah, Pengarah Bahagian Warisan Tak Ketara dari caw. Terengganu

2. Timbalan Presiden : Chalar a/l Indin Prom, Guru dari caw Pdg Terap

3. Setiausaha Agung: Osot a/l Prajun, Pramugara Singapura dari caw. Tasek

4. Penolong Setiausaha Agung: Cik Vilai Phromsuwan, kerani dari Caw. Penang

5. Bendahari Agung: Pramoot a/l Puan, Public Bank dari caw Perlis

6. AJK PUSAT:

i. Visal a/l Ai Reang, Pegawai Bomba dari caw Tasek

ii. Chalem Intachat, Peniaga dari caw. Kubang Pasu

iii. Ngiam a/p Eh Kuan, Peniaga dari caw. Kelantan

iv. Osot a/l Prajun – Tasek (dilantik sebagai SUA)

v. Hock Key a/l Din Tek, Pengerusi JKKKP dari caw. Kg. Cina, Pendang

vi. Nam a/l Din Tong, Pengerusi JKKKP dari Caw. Dangpleng

vii. Vinai a/l Pet Kiaw, Guru dari caw. Sik

viii. Chalom a/l Endin Chian, Setiausaha JKKKP Pdg Jelutong dari caw. Perlis

ix. Enep – Guru Sekolah Bahasa Siam Wat Titi Akar dari caw. Pendang


Enam orang lagi AJK Pusat dilantik oleh Presiden PSM termasuk seorang menggantikan tempat En. Osot Prajun yang dilantik sebagai Setiausaha Agung. Harap semua cawangan ada wakil dalam barisan Jawatankuasa. Saya juga cadangkan supaya Pengerusi PSK dan YB Senator dipertimbangkan untuk dilantik sebagai AJK Pusat oleh Presiden PSM.

Tahniah diucapkan kepada semua yang dipilih dan dilantik bagi memikul tanggungjawab membangunkan masyarakat Siam di Malaysia.

Tuesday, March 1, 2011

Majlis Makan Malam Bersama TPM.

Pada 24.2.2011, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam bersama masyarakat Siam Malaysia di Hotel Sentosa, Alor Setar, Kedah sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM Kali ke 10.

Lebih kurang 1,000 orang hadir ke majlis tersebut. YAB Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Orang-orang Siam Malaysia (YOSM) untuk tabung pendidikan. Beliau juga telah menyampaikan cek berjumlah RM50,000 serta merta sebagai pendahuluan.

Saya tidak dapat hadir kerana tiada jemputan. YB Senator Boon Som Inong juga tidak mendapat jemputan tetapi beliau hadir bagi menghormati kunjungan TPM dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat Siam. Walaupun beliau tahu bahawa beliau tidak akan dilayan sebagai seorang Senator bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen oleh pihak penganjur. Nama beliau langsung tidak disebut dalam ucapan. Lebih-lebih lagi saya, seorang yang amat kerdil berbanding Senator.

Bila saya mendapat khabar begitu, saya rasa tawar hati untuk menghadiri Mesyuarat Perwakilan Tahunan pada keesokan hari. Saya merupakan perwakilan daripada Baling dan saya memangku jawatan Setiausaha Cawangan setelah Cik Kancana selaku Setiausaha Cawangan meninggal dunia baru-baru ini.

Saya amat berpuashati apabila mendengar khabar berita mengenai perubahan dalam barisan kepimpinan Persatuan. Inilah masanya untuk kita bersatu kembali dan mencorak langkah ke arah kemajuan bersama. Agenda peribadi diketepikan dan agenda bersama harus dipertingkatakan demi agama dan bangsa. Tapi sayangnya, YOSM masih berada dalam cengkaman pemimpin terdahulu. Maka tidak banyak Persatuan dapat membantu masyarakat tanpa sumber kewangan.

Akhir sekali, saya masih mengharapkan Presiden baru dapat mencari idea untuk mengatasi segala kesulitan yang wujud ke arah kejayaan untuk membangunkan masyarakat Siam Malaysia.

Sunday, February 27, 2011

Senator Siam dari pandangan Mummy Rokiah

Friday, February 25, 2011

Senator pun nak projek?

Kaum Siam tidak dipinggir, kata Tan Seri Muhyiddin Yassin walaupun jumlah mereka dalam Negara ini hanya seramai 60,000 orang.Beliau berucap semasa majlis perasmian Mesyauarat Perwakilan Tahunan Ke 10 Persatuan Siam Malaysia di Alor Setar semalam. Dalam pada ini beliau juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Orang Siam Malaysia.

Mungkin MR ingin menambah, sebagai bukti pengiktirafan ini Kerajaan juga turut melantik seorang Senator bagi mewakili masyarakat Siam.Tetapi maklumat yang MR dapat semasa bersama Tan Seri semalam, Senator ini pun sibuk juga mencari projek-projek sendiri kerana tempoh terlalu singkat 2 tahun sahaja. Jadi kenalah kampoi selagi jawatan masih panas.



Petikan di atas adalah pandangan daripada Mummy Rokiah blogger terkenal di sebelah utara terhadap perlantikan YB Senator Boon Som Inong mewakili masyarakat Siam Malaysia di Parlimen.

Friday, February 11, 2011

Kancana dan P'Kee dalam kenangan

Cik Kanchana Tan Kran, Setiausaha PSM cawangan Baling telah meninggal dunia pagi tadi di Hospital Selayang kerana masalah imuniti dalam badan. Beliau seorang yang baik dan aktif berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau lahir pada 21.3.1960 dan meninggal dunia pada 11.2.2011 jam 4.30 pagi di Hospital Selayang, Kuala Lumpur. Mayat beliau akan disempurnakan di Wat Phrasrimahapho, Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah. pembakaran mayatnya akan dilakukan pada 14.2.2011 jam 1.30 ptg di Baling.

Saya sekeluarga mendoakan agar Cik Kancana pai su sukkhatik.

Pada 11.3.2011, P'Kee (baju hitam) isteri kepada P'Nop, Penasihat Persatuan Siam Kedah telah meninggal dunia kerana penyakit asma. Mayat beliau disempurnakan pada 15.3.2011, genap sebulan kematian kawan karibnya iaitu Cik Kancana. (edit pd 17 Mac)

Tuesday, January 25, 2011

Pening kepala dengan karenah masyarakat.

Dah lama saya tak tulis dalam blog ini. Hari ini teringin nak tulis. Saya ingin tulis tentang karenah masyarakat yang saya alami. Bila kita hidup dalam masyarakat kita pasti akan menghadapinya. Apa-apa kebaikan yang kita curahkan keburukanlah yang mereka nampak sekiranya masyarakat dah mula benci kepada kita. Kebaikan kita diketepikan utk diumumkan semasa kita mati kelak.

Melalui persatuan, rasanya semua masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat telah kita kemukakan kepada pihak atasan samada pihak kerajaan negeri dan juga pihak kerajaan persekutuan. Tapi masyarakat masih belum puashati kerana kesannya masih belum terasa. Pemimpin pula yang dipersalahkan.

Ada yang mengambil jalan secara bersendirian meluahkan permasalahan mereka kepada umum melalui pelbagai media massa dan media elektronik. Seolah-olah pihak persatuan tidak menjalankan tanggungjawab dan mereka dilihat sebagai wakil masyarakat yang pro-aktif dan peka kepada perkembangan semasa.

Apabila semuanya terlondeh dan mendapat perhatian pelbagai pihak maka pihak berkenaan tujukan persoalan ini kepada pemimpin dalam persatuan yang mewakili masyarakat tersebut. Suka atau tidak maka pihak persatuan harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi maklumat yang mereka perlukan.

Bila pihak tertentu yang tidak puashati maka pemimpinlah menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tempat maki hamun. Terima sajalah apa boleh buat, kita dah jadi pemimpin kena terima kesan sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang betul-betul makan duit atau songlap duit lagi bagus. Bila orang kampung maki pun mereka dah dapat habuan. Kita yang bekerja sukarela ditambah pula duit poket sendiri kena keluar. Akhirnya maki hamunlah yang dapat, tambahan pula dengan dakwaan makan duit masyarakat. Inilah yang kurang enak didengari.

Sehingga hal-hal peribadi kita dijual di merata-rata tempat. Maruah kita dipijak tenggelam ke dalam tanah, kalau boleh. Tiada kebaikan langsung dalam diri seorang pemimpin. Pemimpin beli hartanah dituduh menggunakan duit masyarakat. Selaku pemimpin yang mempunyai kerjaya, tidak mampukah dia membeli hartanah. Mereka ingat semua pemimpin tak ada duit. Mereka anggap semua duit yang ada dalam poket pemimpin adalah duit masyarakat.

Pening sungguh dengan karenah masyarakat Siam. Ada seorang member pernah tegur saya.. jangan terlampau tumpu kepada persatuan. Dalam persatuan hanya kesalahan dan penghinaan yang kita dapat walaupun kita banyak berkorban untuk mereka. Masyarakat tak akan nampak. Lebih baik kita tumpu kepada diri sendiri daripada aktif dalam persatuan.

Pada pandangan saya, selagi kita hidup kita tak boleh lari daripada masalah. Selagi kita menjadi pemimpin, kita tak boleh lari daripada menjadi fokus kepada masyarakat. Oleh itu, perjuangan harus diteruskan walaupun pening dengan karenah masyarakat.