Friday, February 11, 2011

Kancana dan P'Kee dalam kenangan

Cik Kanchana Tan Kran, Setiausaha PSM cawangan Baling telah meninggal dunia pagi tadi di Hospital Selayang kerana masalah imuniti dalam badan. Beliau seorang yang baik dan aktif berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau lahir pada 21.3.1960 dan meninggal dunia pada 11.2.2011 jam 4.30 pagi di Hospital Selayang, Kuala Lumpur. Mayat beliau akan disempurnakan di Wat Phrasrimahapho, Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah. pembakaran mayatnya akan dilakukan pada 14.2.2011 jam 1.30 ptg di Baling.

Saya sekeluarga mendoakan agar Cik Kancana pai su sukkhatik.

Pada 11.3.2011, P'Kee (baju hitam) isteri kepada P'Nop, Penasihat Persatuan Siam Kedah telah meninggal dunia kerana penyakit asma. Mayat beliau disempurnakan pada 15.3.2011, genap sebulan kematian kawan karibnya iaitu Cik Kancana. (edit pd 17 Mac)

Tuesday, January 25, 2011

Pening kepala dengan karenah masyarakat.

Dah lama saya tak tulis dalam blog ini. Hari ini teringin nak tulis. Saya ingin tulis tentang karenah masyarakat yang saya alami. Bila kita hidup dalam masyarakat kita pasti akan menghadapinya. Apa-apa kebaikan yang kita curahkan keburukanlah yang mereka nampak sekiranya masyarakat dah mula benci kepada kita. Kebaikan kita diketepikan utk diumumkan semasa kita mati kelak.

Melalui persatuan, rasanya semua masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat telah kita kemukakan kepada pihak atasan samada pihak kerajaan negeri dan juga pihak kerajaan persekutuan. Tapi masyarakat masih belum puashati kerana kesannya masih belum terasa. Pemimpin pula yang dipersalahkan.

Ada yang mengambil jalan secara bersendirian meluahkan permasalahan mereka kepada umum melalui pelbagai media massa dan media elektronik. Seolah-olah pihak persatuan tidak menjalankan tanggungjawab dan mereka dilihat sebagai wakil masyarakat yang pro-aktif dan peka kepada perkembangan semasa.

Apabila semuanya terlondeh dan mendapat perhatian pelbagai pihak maka pihak berkenaan tujukan persoalan ini kepada pemimpin dalam persatuan yang mewakili masyarakat tersebut. Suka atau tidak maka pihak persatuan harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi maklumat yang mereka perlukan.

Bila pihak tertentu yang tidak puashati maka pemimpinlah menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tempat maki hamun. Terima sajalah apa boleh buat, kita dah jadi pemimpin kena terima kesan sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang betul-betul makan duit atau songlap duit lagi bagus. Bila orang kampung maki pun mereka dah dapat habuan. Kita yang bekerja sukarela ditambah pula duit poket sendiri kena keluar. Akhirnya maki hamunlah yang dapat, tambahan pula dengan dakwaan makan duit masyarakat. Inilah yang kurang enak didengari.

Sehingga hal-hal peribadi kita dijual di merata-rata tempat. Maruah kita dipijak tenggelam ke dalam tanah, kalau boleh. Tiada kebaikan langsung dalam diri seorang pemimpin. Pemimpin beli hartanah dituduh menggunakan duit masyarakat. Selaku pemimpin yang mempunyai kerjaya, tidak mampukah dia membeli hartanah. Mereka ingat semua pemimpin tak ada duit. Mereka anggap semua duit yang ada dalam poket pemimpin adalah duit masyarakat.

Pening sungguh dengan karenah masyarakat Siam. Ada seorang member pernah tegur saya.. jangan terlampau tumpu kepada persatuan. Dalam persatuan hanya kesalahan dan penghinaan yang kita dapat walaupun kita banyak berkorban untuk mereka. Masyarakat tak akan nampak. Lebih baik kita tumpu kepada diri sendiri daripada aktif dalam persatuan.

Pada pandangan saya, selagi kita hidup kita tak boleh lari daripada masalah. Selagi kita menjadi pemimpin, kita tak boleh lari daripada menjadi fokus kepada masyarakat. Oleh itu, perjuangan harus diteruskan walaupun pening dengan karenah masyarakat.

Tuesday, December 28, 2010

Maklumat Senator 3.

Rekod Parlimen Malaysia

Nama: Boon Som a/l Inong, Y.B. Sen. Tuan
Jawatan dalam Kabinet: Tiada
Parti: BN - UMNO
Tempoh: 15.12.2010 - 14.12.2013
No. Telefon: 019-4402999
No. Fax: Tiada
E-Mail: bsboonss@gmail.com
Alamat Surat-menyurat: No. 687, Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar, 05300 Alor Star, Kedah

Sumber: http://www.parlimen.gov.my/index.php?modload=ahlidewan&uweb=dn&action=details&id=769

Sunday, December 19, 2010

Boonsom Inong angkat sumpah sebagai Senator.

Sdr. Boonsom Inong telah mengangkat sumpah sebagai Senator ke 3 bagi mewakili masyarakat Siam Malaysia pada 15.12.2010 yang lalu. Maka berakhirlah masalah perebutan jawatan tersebut di kalangan pemimpin masyarakat Siam Malaysia selama ini.

Oleh itu, marilah kita rapatkan semula perhubungan persaudaraan untuk meneruskan perjuangan bagi mewakili masyarakat Siam seluruh Malaysia ke arah meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi setanding dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Saya dengan ikhlas mengucapkan tahniah dan selamat berjuang untuk memajukan masyarakat Siam di Malaysia.

Sunday, December 12, 2010

Balasan berkhidmat kepada masyarakat.


Saya telah memohon peruntukan daripada majikan saya iaitu Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah untuk menganjurkan Program Pesta Loy Krathong 2010 pada 21 November lepas. Pihak jabatan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM18,000 untuk 2 tempat iaitu satu di Wat Pedu, Padang Terap dan satu lagi di Wat Padang Peliang, Pendang masing2 diberi RM9,000.

Di Wat Pedu saya serah kepada Sdr. Tang a/l Edam, Bendahari PSK merangkap Pegawai Khas ADUN Pedu utk menyelaraskan program tersebut. Manakala program di daerah Pendang diselaraskan oleh saya sendiri melalui Komuniti BESTARI Masyarakat Siam Pendang.

Beberapa mesyuarat telah dilakukan sebagai perancangan dan persiapan untuk menganjurkan program tersebut. Dari menyediakan kertas kerja, perancangan bajet sehinggalah kepada urusan majlis perasmian program oleh YB Pn. Suraya Yaacob, ADUN Sungai Tiang.

Pihak kami pinjam sebanyak RM5,000 daripada Phrakhru Suwanthammaphitak, Ketua Sami Wat Padang Peliang sebagai pendahuluan dan modal penganjuran sebab peruntukan kerajaan adalah dalam bentuk Local Order (LO). Lebih kurang sebulan lepas program barulah peruntukan tersebut dapat melalui akuan bank Komuniti BESTARI. Maka pihak kami kenalah berjimat cermat agar wang tunai yang ada mencukupi bagi menganjurkan program tersebut. Ada juga perbelanjaan yang pihak kami terpaksa hutang kerana wang tunai tidak mencukupi.

Akhirnya program tersebut berjaya dianjurkan pada 21 Nov 2010 di Wat Padang Peliang yang dirasmikan oleh YB Puan Suraya Bt Yaacob, ADUN Sg Tiang. Orang ramai yang hadir ke pesta tersebut sekitar 2,000 orang. Pengarah Penerangan Negeri Kedah juga turut hadir dan menyampaikan ucapan.

Tetapi apa yang menyedihkan saya ialah apabila ada orang pergi menghasut orang-orang kampung mengatakan pihak kami makan duit. Mereka giat jalan dari rumah ke rumah dengan bertujuan untuk menghina kami. Apakah tujuan mereka? Apakah kesalahan kami? Program tersebut juga telah berjaya dianjurkan. Manakala peruntukan jabatan pun belum dapat lagi dan hanya pinjam daripada Ketua Sami sahaja. Pihak kami juga tidak mengutip sesen pun wang daripada orang-orang kampung. Penjualan 'krathong' pun masuk Tabung Sekolah Bahasa Thai Wat Padang Peliang. Macam mana pula mereka boleh katakan pihak kami makan duit sedangkan kita buat kerja dalam satu kumpulan yang mempunyai barisan Jawatankuasanya dan pengarah saya yang mengendalikan mesyuarat yang diadakan di pejabat DUN Sungai Tiang.

Kalau mereka tak faham, mereka boleh datang tanya kepada ahli Jawatankuasa yang terlibat. Bukannya sebar maklumat yang salah di kalangan orang-orang kampung. Berterus teranglah semasa mesyuarat diadakan bukannya semasa mesyuarat kita diam. Bila kita tak faham, kita pi tanya dalam 'wonglau'. Lepas tu kita buat andaian sendiri. Inilah masalah utama.

Inilah yang dikatakan perosak bangsa. Diri sendiri tidak mampu anjurkan program seperti itu, depa pi hasut org kampung pula dengan tuduhan yang tak berasas. Kalau mereka tanya saya secara baik, saya akan terang dengan terperinci laporan bajet yang saya ada. Tapi depa tak tanya, depa hanya nak cari kelemahan pihak kami dan hasut org kampung saja. Itulah tujuan mereka sebenar. Menjahanamkan kampung sendiri.

Kadang2 saya rasa lemah semangat untuk aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Tak buat apa pun, anak bini saya dah hidup senang lenang dengan apa yang saya ada.

Monday, November 8, 2010

Bantu mangsa banjir di Kg. Huma, Jitra.

Pada 7 Nov 2010, Saya bersama Pricha, Boonrit dan Som Mad berusaha mendapatkan bekalan beras dan makanan kering untuk membantu mangsa banjir di Kg. Huma, Jitra, Kedah.

Kami berkumpul di Padang Peliang dan mula bertolak pada jam 2.00 petang utk mengutip barang2 tersebut daripada wat-wat Siam di Kedah. Dengan menaiki 1 van dan 1 kereta, kami bertolak dari daerah Pendang ke daerah sik dan seterusnya ke daerah Padang Terap. Daerah Kuala Muda dan Baling kami tak pergi kerana jauh.

Kami berjaya mendapat lebih kurang 100 kampit beras. Penyumbang yang banyak sekali ialah Wat Charok Padang lebih kurang 50 kampit. Kami sampai di Kg. Huma lebih kurang jam 6.00 petang.

Pihak kami disambut oleh En. Camnat, Pengerusi JKKKP Kg. Huma yang juga merupakan AJK Persatuan Siam Kedah.

Tuesday, October 19, 2010

Imbas kembali sejenak..

Persatuan Siam Kedah (PSK) telah ditubuhkan pada 7 Okt 2008 di Wat Thepsuwannaram, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah. Tujuan penubuhannya adalah kerana majoriti veteran Siam Kedah berpendapat bahawa masyarakat Siam Kedah tidak ada NGO yang mewakili kaum Siam Kedah dengan pihak kerajaan negeri. Di mana sebelum ini, kita ada Persatuan Siam Kedah/Perlis yang telah dibubarkan pada 1997 selepas penubuhan Persatuan Siam Malaysia (PSM). Presiden PSM ketika itu, mahukan masyarakat Siam bersatu di bawah satu payung iaitu PSM. Semua persatuan Siam yang lain dinasihatkan untuk dibubarkan.

Oleh kerana pihak PSM tidak mempunyai cawangan di peringkat negeri kedah dan hanya mempunyai cawangan di peringkat kampung sahaja maka ia tidak merangkumi keseluruhan masyarakat Siam Kedah. Bila berlaku permasalahan di kalangan masyarakat Siam Kedah, agak sukar untuk masyarakat Siam Kedah berurusan dengan pihak kerajaan terutamanya kerajaan negeri Kedah. Maka wajarlah PSK ditubuhkan semula ataupun boleh dikatakan menghidupkan semula Persatuan Siam Kedah/Perlis yang telah dibubarkan dan kebanyakkan bekas pemimpinnya telah menyertai PSK.

Hasil perjuangan PSK yang pertama ialah mewujudkan "Gerakan Menyelamatkan Tan Hui Ming" yang telah diculik oleh warga Myanmar dan di bawa melepasi sempadan 3 buah negara. Ramai orang pandang sinis dgn hasrat PSK. Ramai org kata PSK lebih sudu dari kuah. Akhirnya tanpa disangka, perjuangan tersebut berjaya dan adik Tan Hui Ming telah diterbangkan balik dari luar negara ke pangkuan keluarga. Tetapi orang kita mudah lupa. Seperti kawan saya kata, "buat baik kepada masyarakat, tak lama mereka akan lupa".

PSK juga berusaha untuk menganggotai Jawatankuasa yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi mewakili masyarakat Siam Kedah tetapi mendapat halangan yang hebat daripada pihak tertentu. Mereka berusaha agar PSK tidak dapat bergerak dengan lebih aktif di Kedah. Pihak PSK tidak kisah sebab kebanyakkan ahli jawatankuasanya daripada ahli UMNO. Suatu hari nanti pasti PSK dapat berdiri dengan gagah di negeri Kedah.

Pada 16 Okt 2010 setelah genap 2 tahun penubuhan PSK maka PSK telah berjaya menubuhkan Koperasi Kaum Siam Kedah Berhad (KKSKB) di bawah Biro Ekonomi yang diketuai En. Ai Cha Ran, seorang peguam. Beliau berpendapat sekiranya PSK tidak mempunyai kekuatan kewangan maka sukar untuk PSK bergerak. Untuk membela dan menjaga kebajikan ahli-ahli PSK maka kita mesti menceburi diri dalam dunia perniagaan maka dicadangkan penubuhan sebuah koperasi.

Penubuhan koperasi ini juga mendapat tentangan pihak tertentu. Tetapi dengan nekad untuk merealisasikan mandat jawatankuasa PSK maka akhirnya penubuhan koperasi tersebut telah mendapat kejayaan. PSK akan dijadikan saluran politik dan sosial manakala KKSKB akan dijadikan saluran ekonomi.