Sunday, March 8, 2009

YB Mahdzir Khalid dan YB Suraya Yaakob sudi hadir.

YB Datuk Seri Mahdzir Bin Khalid, ADUN Pedu dan YB Suraya Bt Yaacob ADUN Sg. Tiang bersetuju hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi kali pertama tahun 2008 di Dewan Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 13 Mac 2009 mulai jam 2.30 petang.

Dengan kehadiran 2 orang wakil rakyat tersebut membuktikan bahawa PSK mula mendapat tempat dalam arena politik di negeri Kedah untuk memperjuangkan kemajuan masyarakat Siam. Kehadiran mereka juga sebagai satu detik permulaan yang bagus kepada PSK sejak penubuhannya pada 7 Okt 2008 yang lalu.

Masyarakat Siam negeri Kedah amat mengalu-alukan kehadiran YB sebagai suntikan semangat untuk kami mencurah bakti kepada masyarakat Siam di negeri Kedah.

Wednesday, March 4, 2009

Notis Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Kali Pertama Tahun 2008.

Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas, sukacitanya dimaklumkan bahawa PSK akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan mengikut Fasal 7 Undang-undang Tubuh Persatuan seperti berikut:

Tarikh: 13 Mac 2009 (Jumaat)
Masa: mulai jam 2.30 petang
Tempat: Dewan Wat Thepsuwannaram, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah.

Agenda Mesyuarat:
1. Ucapan Pengerusi PSK
2. Ucapan Perasmian oleh VVIP (jika ada)
3. Pengesahan Minit Mesyuarat Agung Penaja
4. Perbentangan Laporan Aktiviti Tahunan Bagi Tahun 2008
5. Perbentangan Laporan Kewangan Tahunan Bagi Tahun 2008
6. Pemilihan Jawatankuasa PSK Bagi Penggal 2009/2010
7. Bahas USUL (jika ada)
8. Pindaan Perlembagaan (jika ada)
9. Ucapan Penangguhan

Semua ahli PSK dijemput hadir untuk menyuarakan pandangan untuk kepentingan masyarakat Siam melalui saluran yang sah. Manakala bukan ahli PSK boleh hadir sebagai PEMERHATI sahaja.

Sekian, terima kasih.

Masyarakat Siam Kedah mahukan pemimpinnya bertaraf EXCO.

Hari ini, Persatuan Siam Kedah (PSK) menghantar surat kepada YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak, Menteri Besar Kedah Darul Aman mencadangkan perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah setaraf EXCO daripada pemimpin masyarakat Siam negeri Kedah. Pemilihan pemimpin tersebut hendaklah dilakukan melalui PSK.

Sebelum ini, kerajaan BN melantik YB Dato' Fong Chok Gin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah. Selepas itu, kerajaan PR pula melantik YB V. Arumugam sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Rata-rata masyarakat Siam di negeri Kedah bersetuju dan mengalu-alukan pengujudan jawatankuasa tersebut bagi menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat Siam di negeri Kedah. Tetapi kami tidak setuju EXCO-EXCO tersebut dilantik bagi menjaga kebajikan masyarakat kami. Pemimpin masyarakat kami juga berkemampuan untuk memimpin masyarakat kami sendiri di negeri Kedah jika dilantik.

EXCO yang lepas, tidak memahami kehendak masyarakat Siam. Mereka juga tidak memahami tentang permasalahan yang wujud dalam masyarakat Siam. Kami juga tidak pasti samada permasalahan yang wujud dalam masyarakat Siam di bawa untuk pengetahuan pihak atasan. Lebih menyedihkan lagi, bila kami mendapat tahu peruntukan beratus-ratus ribu RM yang diperuntukan oleh kerajaan sebelum ini tidak sampai kepada masyarakat Siam Kedah.

Bagaimanakah mereka boleh mewakili Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah untuk menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat kami di negeri Kedah?

Oleh itu, pihak kami menyeru kepada Kerajaan Negeri Kedah supaya dapat melantik salah seorang daripada pemimpin PSK untuk mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah setaraf EXCO.

Monday, March 2, 2009

Gambar kenangan Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam

Para tetamu antaranya ialah En. Thap Nakorn-In (Pusat Kebudayaan ASEAN, Betong, Thailand), En. Bun Yin Ai AN (Pengerusi Persatuan Siam Kedah), En. Siri Neng Buah (Pengarah Bahagian, Jabatan Warisan Negara), En. Osman Jamil (Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah), Wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand dan barisan jawatankuasa PEKEMAS bergambar kenang-kenangan di hadapan Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.



Para tetamu menikmati jamuan makan tengahari selepas para sami selesai menikmati jamuan makan tengahari. Antara masakan popular masyarakat Siam ialah Kheng Khilek.


Para sami menikmati jamuan makan tengahari di kawasan anjung Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.

Ven. Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis memberi restu dengan merenjis air jampi (Phrom Nammont) setelah selesai upacara penyerahan Sert Menora oleh En. Siri Neng Buah, wakil Jabatan Warisan Negara kepada En. Isin a/l Ayong (Menora Chai) selaku Ketua Menora.



En. Siri Neng Buah, Pengarah Bahagian, Jabatan Warisan Negara mewakili Pesuruhjaya Warisan Negara menyempurnakan simbolik penyerahan pakaian menora yang disumbangkan oleh Jabatan Warisan Negara sebanyak RM25,000.00 kepada wakil PEKEMAS.


En. Osman Jamil, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah menerima cenderamata dari wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand bagi pihak Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.

Para Sami menjalankan upacara keagamaan sebagai tanda perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam d/a Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 28.2.2009.

Ven. Phrakhru Suwandhammaphitak, Ketua Sami Daerah Sik turut serta dalam upacara perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.


Orang kampung bergotong-royong menyediakan makanan dalam Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam d/a Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 28.2.2009.


Kehadiran En. Siri Neng Buah ke Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam. Beliau bersalaman dengan wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand dan diperhatikan oleh En. Uam, bekas Pengerusi JKKK Kg. Titi Akar dan En. Bun Yin, Pengerusi Persatuan Siam Kedah.

Sunday, March 1, 2009

Pengundi Siam tiada masalah di DUN Bukit Selambau.

Pagi ini saya menghadiri mesyuarat khas persiapan pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau. Setiap Ketua Daerah Mengundi diminta membentangkan hasil tugas masing-masing mengenai kedudukan kecenderongan pengundi dan isu-isu di kawasan yang dipertanggungjawabkan. Saya dikhaskan kawasan estet di Bukit Rusa.

Ada member saya Melayu dikhaskan di kawasan masyarakat Siam iaitu Pekan Bukit Selambau, Kuala Sin, Kg. Sungkup, Kg. Padang Sekawan dan Kg. Tanah Lincin. Beliau melaporkan bahawa masyarakat Siam di kawasan tersebut tiada masalah.

Saya tak berapa pasti lalu memberi pandangan mengatakan tak logik masyarakat Siam tiada masalah. Bukannya saya tak percaya kawan cuma mungkin orang-orang Siam sendiri tidak mahu berterus terang bila ditemuramah oleh bangsa lain. Akhirnya saya diminta untuk meninjau kawasan masyarakat Siam.

Saya pergi ke pekan Bukit Selambau jumpa kawan lama. Dia jawab masalah ada tapi dia perlu kumpulkan orang dulu dan berbincang dengan saya secara berkumpulan dan membuat temujanji esok jumpa di Wat Bukit Selambau.

Seterusnya saya pergi jumpa En. E Nudeng a/l Edin, Pengerusi JKKKP Kg. Padang Sekawan dan En. Bau, Pengerusi PSM caw. Bukit Selambau di Kg. Sungkup. Antara isu yang saya perolehi:
1. Masalah kemudahan asas seperti minitar - dah lama mohon tapi tak pernah dapat.
2. Masalah Sijil Pertanian Orang2 Siam - untuk memohon tanah rizab Melayu.
3. Masalah boleh jual tanah tapi tak boleh beli - tanah masyarakat Siam semakin berkurangan.
4. Masalah status Bumiputera - masih tak jelas sebab bila memohon hak bumiputera, ditolak.
5. Wakil masyarakat Siam yang tak sesuai untuk membela masyarakat Siam - sebelum ini Cina (Fong Chok Gin) dan India (Arumugam).
6. Masalah peruntukan sekolah bahasa Thai di wat.

Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam telah dirasmikan dgn jayanya.

Kelmarin, Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam, d/a Kampung Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah telah dirasmikan dengan jayanya.

Seramai lebih kurang 100 orang pemimpin masyarakat Siam dan penduduk setempat hadir ke majlis tersebut. Majlis tersebut dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong menyediakan makanan untuk 150 orang tetamu. Antara menunya ialah Kheng Khilek, Mhu masak kicap, sayur kobis, ikan goreng, namchup phaknok (ulam) dan tapai sebagai pencuci mulut. Ada juga orang kampung membawa makanan sendiri dari rumah.

Pada jam 10.30 pagi, para sami memulakan upacara Charen Phraphutthamont (Suat Mont) diketuai Ven. Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis, Ven. Phrakhru Suwanthammaphitak, Ketua Sami Daerah Sik, Ven. Phrakhru Dhammabal Phem, Pemangku Ketua Sami Wat Suwannaram bersama 5 orang lagi sami wat Suwannaram dan Wat Visutthipradittharam.

Seterusnya ucapan saya selaku Pengerusi PEKEMAS, ucapan Mr. Thap, wakil Pusat Kebudayaan ASEAN, ucapan En. Siri Neng Buah, Pengarah Bahagian Warisan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan ucapan terakhir En. Osman Jamil, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.

Wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam. Akhir sekali En. Siri Neng Buah mewakili Jabatan Warisan Malaysia menyampaikan pakaian Menora kepada En. Chai selaku Ketua Menora PEKEMAS sebagai simbolik penyerahan peralatan Menora yang disumbangkan oleh pihak kerajaan kepada PEKEMAS. En. Siri Neng Buah juga memaklumkan bahawa Menora telah diwartakan oleh Kerajaan Malaysia sebagai warisan negara pada 13 November 2008.

Majlis selesai pada jam 1.00 petang setelah para tetamu menikmati jamuan makan tengahari ala kampung. Saya bagi pihak PEKEMAS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis perasmian tersebut.

Friday, February 27, 2009

Penulisan yang lahir daripada perasaan sebenar.

Semua penulisan saya adalah lahir daripada perasaan saya yang sebenar. Saya hanya menulis tentang pengalaman yang saya benar-benar alami. Tak kisahlah artikel tersebut pahit atau manis, saya tetap akan menulisnya.

Ada ramai pengunjung lebih suka baca artikel yang menyedapkan hati mereka sahaja. Terus terang saya katakan, saya menulis mengikut hati nurari saya sahaja. Saya tak kisah apa pandangan para pengunjung terhadap penulisan saya. Kalau rasa segan nak baca, tak perlu anda rugikan masa. Anda tak sakit hati dan saya juga tak rugi apa-apa.

Saya tak pandai berlakon macam orang lain. Benar saya kata benar dan salah saya katakan salah. Ada orang tulis artikel seolah-olah macam alim ulamak, tapi perangai sebenar macam penyangak. Saya lebih suka cara Din Kheng menyampaikan mesej, tepat kepada sasaran.

Biarlah saya seorang bertindak sebagai lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain. Kalau anda baca artikel saya, itulah perangai dan pendirian saya yang sebenar. Saya bukannya mewujudkan permasalahan dalam masyarakat Siam. Saya cuma ingin membawa masyarakat Siam yang minoriti ini keluar dari bawah tempurung. Di mana salah seorang bekas Senator kita pernah menggelarkan masyarakat Siam berada di bawah tempurung dalam satu majlis meraikan perlantikannya sebagai Ahli Dewan Negara di Hotel Sentosa, Alor Setar, Kedah pada tahun 2003.

Fikirlah sendiri, mana baik dan mana buruk.