Friday, February 27, 2009

Tugas Khas di DUN Bukit Selambau..

Saya diarah bertugas Khas di DUN Bukit Selambau sejak 25.2.2009 hingga 3.3.2009. Tugas khas tersebut berkenaan persiapan pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 7.4.2009. Penamaan calon PRK DUN Bukit Selambau akan diadakan pada 29.3.2009.

Harapan saya ingin bertugas di kawasan masyarakat Siam iaitu di Pekan Bukit Selambau dan Kampung Padang Sekawan sebab hanya saya seorang sahaja Jejaka Siam Terakhir dalam jabatan yang saya bertugas. Tetapi harapan saya meleset apabila ditugaskan di kawasan estet iaitu kawasan majoriti kaum India.

Thursday, February 26, 2009

Perasmian Perpustakaan Desa Kg. Tok Set dan Titi Akar.

PEKEMAS telah dijemput menganggotai Jawatankuasa Penganjuran Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Desa Kampung Tok Set dan Kampung Titi Akar di Wat Titi Akar pada 21.2.2009 jam 3.00 petang.

PEKEMAS dipertanggungjawabkan tentang persembahan gendang panjang sambutan dan juga persembahan Tarian Tradisional Siam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ybhg. Datuk Halim, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Turut hadir ialah YB Puan Suraya Yaakob, ADUN Sungai Tiang dan Ven. Than Chau Khun Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis.


Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis sudi merasmikan Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam

Semalam saya bersama Jawatankuasa PEKEMAS telah pergi menjemput Than Chau Khun Maison, Ketua Sami Kedah/Perlis untuk hadir merasmikan Bangunan Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam di Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 28.2.2009.

Beliau tidak dapat hadir kerana pergi ke Indonesia pada 25.2.2009 hingga 3.3.2009. Beliau meminta saya menjemput Than Chau Khun Praimai untuk mewakili beliau.

Than Chau Khun Praimai, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis sudi hadir untuk merasmikan bangunan tersebut. Saya mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua penggiat seni kebudayaan Siam di seluruh negeri Kedah hadir beramai-ramai. Jamuan makan tengahari disediakan untuk semua tetamu.

Tuesday, February 24, 2009

Komen face to face mengenai forum website.

Semalam saya bersama orang tua saya mengedar surat jemputan ke majlis perkahwinan adik saya kepada saudara mara. Kami mengambil keputusan untuk ke kampung jauh dahulu iaitu Kg. Tas, Pegang, Baling dan Tasek.

Setibanya saya di Kg. Tasek, saya pun pergi la satu per satu ke rumah saudara mara saya termasuk rumah Tok Penghulu Mukim Belukar Semang. Setibanya di rumah Tok Ketua Kampung Kerajaan PR, kami dijemput untuk minum dulu. Maklumlah dah lama isteri tuan rumah tak berjumpa dengan saudaranya dari Kg. Padang Pusing. Sementara si suaminya memang saya dah lama kenal sejak sebelum saya bertugas di daerah Pengkalan Hulu lagi.

Kami pun bersembanglah bab-bab politik. Maklumlah dia juga orang politik setelah pencen sebagai guru besar. Beliau dilantik jadi JKKK kerajaan PR di Perak. Maka sembang pi sembang mai, dia mulalah komen bab forum dalam internet. Beliau maklum kepada saya bahawa beliau pernah baca komen dalam forum tersebut. Beliau menyatakan perasaan tak puashati tentang komen sesetengah ahli forumer yang tak mementingkan kesannya terhadap masyarakat kita. Saya tanya, ahli forumer mana yang beliau cukup tak puashati. Saya rasa beliau juga tak puashati dengan saya tapi segan nak cakap di hadapan saya.

Lalu beliau menjawab, beliau cukup tak puashati cara ahli forumer yang bernama Pek Lai komen melalui forum. Tambah beliau lagi, Pek Lai tu rasanya orang dari Perlis. Saya dengan rasa gatai mulut lalu memberitahu secara selamba, Pek Lai tu orang Kg. Tasek. Beliau terkejut dan tanya saya lagi, siapa Pek Lai. Saya gatai mulut lagi, lalu menjawab Pek Lai tu anak tuan la. Akhirnya kami tukar topik perbincangan. Oleh kerana hari semakin gelap maka saya pun minta diri untuk pulang ke Padang Pusing.

Monday, February 23, 2009

Banci Masyarakat Siam Daerah Padang Terap

Saya telah diarah untuk bertugas di daerah Padang Terap sejak 17.2.2009 hingga 24.2.2009 untuk membuat kajian tentang sikap pengundi terhadap parti politik bagi persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Kecil Bukit Selambau pada 29.3.2009 hingga 7.4.2009.

Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat banci masyarakat Siam di daerah ini. Dengan bantuan Sdr. Tang a/l Edam, saya berjaya menemuramah semua pengerusi JKKKP di perkampungan Siam di daerah ini.

Daerah ini mempunyai 14 buah perkampungan Siam antaranya ialah:
1. Kampung Tanah Merah - 380 orang
2. Kampung Tanjung (Thai) Mk. Pedu - 1050 orang
3. Kampung Padang Senai - 68 orang
4. Kampung Baru Naka - 720 orang
5. Kampung Chang Deng - 434 orang
6. Kampung Lamdin - 564 orang
7. Kampung Tandop - 205 orang
8. Kampung Lubuk Rambai - 350 orang
9. Kampung Padang - 285 orang
10. Kampung Sungai Kap - 328 orang
11. Kampung Sungai Long - 156 orang
12. Kampung Sungai Pisang - 31 orang
13. Kampung Tapang - 69 orang
14. Kampung Kuala Beris (sebahagian) - 43 orang
15. Lain-lain tempat di daerah ini - Tiada maklumat

Antara masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam di daerah ini ialah:
1. Bekalan air semasa musim kemarau.
2. Penempatan baru.
3. Projek PPRT tidak mencukupi.
4. Masalah sijil Pertanian Orang-orang Siam.
5. Masalah tanah belum ada geran.
6. Masalah kemudahan asas.
7. Peruntukan kerajaan terutamanya dari segi kebajikan tidak sampai kepada masyarakat Siam.
8. Tiada peruntukan bantuan modal sekolah bahasa Siam.
9. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah iaitu EXCO yang dilantik kerajaan negeri tidak memahami kehendak orang-orang Siam.
10. Perbezaan politik di kalangan orang-orang kampung.

Sunday, February 22, 2009

Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.

Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah akan dirasmikan pada 28.2.2009.

Aturcara Majlis

27.2.2009 (Jumaat)
- Gotong-royong membersihkan kawasan dan mendirikan khemah.
- Sebelah malam persiapan terakhir di rumah Nai Chai (guru Menora).

28.2.2009 (Sabtu)
- Gotong-royong menyediakan makanan untuk Jamuan makan tengahari.
- Nimon Phra Suat Phorn (Upacara Keagamaan).
- Jamuan makan tengahari.
- Majlis Penyerahan Kostium Menora oleh Pegawai Jabatan Warisan Seni dari KL.
- Majlis Dialog bersama wakil Pusat Kebudayaan ASEAN dari Thailand dengan PEKEMAS.

Wednesday, February 18, 2009

Misi mencari dan menyelamat adik Tan Hui Ming telah berjaya.

PSK telah berjaya menjalankan Misi Mencari dan Menyelamat adik Tan Hui Ming gadis Siam dari Kampung Chong, Sik, Kedah yang telah diculik oleh warga Myanmar sejak 30.12.2008. Mangsa telah berjaya ditemui di Myanmar manakala suspek telah ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar.

Dua hari lepas, pihak Wisma Putra Kuala Lumpur telah menghubungi bapa mangsa. Bapa mangsa telah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapat maklumat lanjut. Saya dimaklumkan bahawa mereka telah berjaya menemui adik Tan Hui Ming dan dalam usaha untuk ektradisi balik ke Malaysia.

Bapa mangsa akan pergi ke Myanmar dalam waktu terdekat setelah semua dokumen dan prosedur telah siap. Saya juga difahamkan bahawa pihak YBhg. Datuk Abdul Azeez, Ketua Sekretariat Penyelamat Pemuda UMNO Malaysia akan membantu dalam perkara ini termasuk semua kos perbelanjaan.