Monday, June 18, 2012

Ramai mencurah bakti hanya segelintir dapat habuan.

Aku rasa sangat bahaya untuk menulis sebarang artikel pada saat-saat genting menjelang PRU13. Bermacam-macam tanggapan akan dibuat oleh pelbagai pihak mengikut citarasa kiblat mereka kepada mana-mana pihak politik.

Mereka boleh mencari kesalahan atau boleh memuji hasil penulisan aku mengikut kiblat sokongan mereka kepada mana-mana parti politik. Jika mereka berkuasa maka risiko kepada aku amat besar berbanding mereka yang tidak berkuasa dalam arena politik maka rendahlah risiko yang akan aku hadapi.

Apakah yang aku dapat drp penulisan aku ini? Rasanya tidak mendapat apa-apa habuan kecuali mala petaka yang sedang menanti. Kenapakah aku terus menulis? Jika aku tak menulis, siapakah yang akan mengetengahkan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh kaum minoriti Siam di Kedah. Kebanyakkan ahli politik Siam bertindak demi memenuhi kantung sendiri sahaja.

Mereka lebih suka menjaga pemimpin berbanding menjaga kebajikan kaum sendiri. Inilah realiti dunia masa kini yang kian mencabar.

Baru-baru ini kerajaan memberi peruntukan kepada Kg. Titi Akar, Kg. Tok Set dan Jitra. Masing2 mendapat RM500k (Sekolah Bahasa Siam), RM400k (Bina bangunan tambahan) dan RM300k (tempat pembakaran mayat). Para ketua sami Siam pula, masing-masing mendapat RM9k setiap seorang sebanyak 48 orang seluruh Kedah.

Berapakah yang telah diberi kerajaan kepada pengundi Siam Kedah? Kerajaan hanya memberi peruntukan RM1.2juta kepada 3 buah kampung Siam sahaja sedangkan seluruh Kedah ada 48 buah perkampungan Siam. Kerajaan hanya beri peruntukan RM432k kepada semua Ketua Sami Siam seluruh Kedah sedangkan pengundi-pengundi Siam Kedah yang berada bawah Persatuan Siam Kedah (PSK) tidak mendapat apa-apa peruntukan.

Bagaimanakah PSK memainkan peranan membantu kerajaan tanpa sebarang peruntukan? Adakah dengan mengumumkan, kaum Siam adalah Bumiputera dapat menyelesaikan semua masalah yang wujud? Tepuk dada tanya selera.