Thursday, April 21, 2011

Rintihan orang Siam terhadap permohonan Sijil Siam.

Rata-rata orang Siam selalu bercakap mengenai “Sijil Siam” dan permasalahannya. Tetapi berapa orangkah yang tahu tentang sijil tersebut dan apa masalahnya? Sijil yang orang Siam selalu sebut sijil Siam sebenarnya “Sijil Pertanian Orang-orang Siam”.

Kegunaan sijil Siam adalah untuk memohon tanah rizab Melayu yang diterokai oleh orang-orang Siam. Mengikut kanun tanah di negeri Kedah, orang-orang Siam boleh memiliki tanah rizab Melayu seperti orang-orang Melayu di negeri Kedah. Untuk memiliki tanah rizab Melayu, orang Siam terlebih dahulu perlu memohon sijil Siam bagi membuktikan bahawa mereka memang orang Siam yang layak memiliki tanah rizab Melayu.

Pada masa dahulu, sijil Siam tidak mendatangkan masalah kepada orang-orang Siam. Kerana kebanyakan orang-orang Siam adalah petani dan hidup berkelompok di kampung-kampung. Di daerah Pendang saja ada 11 kelompok iaitu 11 buah kampung. Perkahwinan orang-orang Siam pula adalah di antara orang-orang Siam sendiri dalam kelompok tersebut.

Apabila negara semakin maju maka orang Siam pun turut mengikut arus kemajuan. Maka lahirlah orang-orang Siam berpelajaran tinggi ekoran perkembangan dari sektor pendidikan. Ramailah orang Siam menjawat jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta. Ada yang berhijrah ke kota untuk bekerja dalam sektor perkilangan.

Penghijrahan orang Siam dari kelompok kecil ke dunia luar menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara orang Siam dengan orang Cina dan India. Maka bermulalah masalah Sijil Siam yang diperkatakan orang-orang Siam sehingga hari ini.

Masalah sijil Siam bukannya disebabkan bayaran sebanyak RM50 seperti jawapan YAB Menteri Besar Kedah di Dewan Undangan Negeri semasa menjawab soalan YB Suraya Yaacob, ADUN Sg Tiang. YAB Menteri Besar menjawab, ada pemimpin Siam berjumpa beliau dan memaklumkan bahawa orang-orang tidak mampu bayar RM50 utk mendapatkan sijil Siam.

Sebenarnya permohonan sijil Siam mempunyai masalah lain yang lebih rumit. Antaranya ialah:

Pertama: Permohonan Sijil Siam sangat rumit dan memakan masa yang panjang. Keadaan ini sangat merimaskan orang-orang Siam dan akhirnya orang Siam terlepas peluang memiliki tanah rizab Melayu yang diterokainya.

Kedua: Satu sijil Siam hanya boleh digunakan sekali untuk memohon sebidang tanah rizab Melayu. Sekiranya orang-orang Siam mengusahakan tanah lebih dari satu bidang maka sijil Siam juga harus dipohon mengikut jumlah bidang tanah yang diterokai. Keadaan ini menyukarkan orang-orang Siam untuk memiliki tanah.

Ketiga: Sijil Siam hanya boleh dipohon oleh orang-orang Siam warganegara Malaysia yang mengusahakan tanah tersebut, pendek kata.. seorang petani. Masalahnya sekarang ialah bukan semua orang-orang Siam adalah petani. Ada Jurutera, pegawai kerajaan dan swasta, pekerja kilang, pemandu lori, peniaga kecil dan sebagainya. Mereka ini tidak layak memohon sijil tersebut sekiranya syarat pekerjaan sebagai petani ditetapkan.

Keempat: Sijil Siam juga tidak boleh dimohon oleh orang-orang Siam yang berkahwin dengan orang Cina dan orang India. Sebab orang Cina dan India tidak layak memiliki tanah rizab Melayu. Apabila pemilik tanah tersebut meninggal dunia maka pasangannya akan memiliki harta sepencarian dan bercanggah dengan kanun tanah negeri Kedah.

Kelima: Kerana sijil Siam menyebabkan anak-anak yang telah berjaya dalam bidang lain selain daripada bidang pertanian sukar untuk memohon sijil Siam dan sukar untuk memiliki tanah rizab Melayu hasil penerokaan orang tuanya yang belum memiliki geran.

Semoga kerajaan negeri Kedah mengkaji semula syarat permohonan Sijil Siam agar tidak menganiaya orang-orang Siam Kedah. Beri juga kelonggaran untuk orang-orang Siam membeli tanah daripada orang-orang Melayu sekiranya mereka layak memiliki tanah rizab Melayu seperti terkandung dalam kanun tanah negeri Kedah.