Tuesday, July 21, 2009

Kisah benar kemelot RM43k.

Pada bulan Februari 2009, En. Jokhi menghubungi saya dan memaklumkan bahawa kawannya Pembantu Khas kepada EXCO Kerajaan Negeri Kedah iaitu YB Arumugam meminta bantuan mendapatkan semua akaun 43 wat Siam seluruh Kedah dalam masa sehari. Kerajaan negeri Kedah melalui EXCO tersebut telah meluluskan peruntukan untuk Pesta Loy Krathong 2008 sebanyak RM43k untuk masyarakat Siam Kedah. Pembahagian tersebut berdasarkan satu wat dapat RM1k sebanyak 43 wat untuk tujuan anjurkan Pesta Loy Krathong 2008.

Peruntukan tersebut sekiranya tidak dituntut oleh masyarakat Siam Kedah, akan lupus begitu saja. Masyarakat Siam Kedah tak akan mendapat apa-apa. Saya pula diberi tempoh satu hari untuk mendapat akaun 43 wat untuk membuat tuntutan peruntukan tersebut. Saya cuma ingin membantu menyelamatkan wang peruntukan tersebut supaya tidak hilang begitu saja. Memandangkan saya sukar untuk mendapatkan akaun 43 wat maka saya cadangkan menggunakan akaun Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (PEKEMAS).

Akhirnya pihak EXCO Kerajaan Negeri Kedah bersetuju menyalurkan wang peruntukan tersebut melalui akaun PEKEMAS dengan syarat saya perlu membuat surat akujanji dengan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mengagihkan wang tersebut kepada 43 wat siam seluruh Kedah.

Pada 14 Februari 2009, saya diminta untuk mengambil cek bernilai RM43k di pejabat EXCO Kerajaan Negeri. Semasa saya menerima cek tersebut, saya sekali lagi diminta untuk menandatangani surat yang mengatakan saya hanya pemegang amanah duit RM43k. Saya tidak boleh membelanjakan wang tersebut tanpa arahan seterusnya daripada EXCO Kerajaan Negeri Kedah.

Pada 15 Februari 2009, EXCO tersebut telah meletakkan jawatan sebagai EXCO dan juga ADUN Bukit Selambau sehingga terpaksa mengadakan pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau. Peruntukan tersebut tergantung, saya tak berani untuk membuat keputusan tentang kedudukan peruntukan tersebut.

Bila hal ini diketahui oleh pemimpin persatuan Federal dan juga beberapa orang alim ulama, maka mereka telah mengamuk. Pembantu Khas kepada EXCO tersebut memaklumkan kepada saya tentang perkara ini. Beliau juga beritahu kepada saya siapakah gerangan orang yang mengamuk itu. Pemimpin persatuan Federal mendesak EXCO yang baru dilantik untuk mengambil tindakan terhadap saya dengan alasan pihak sami marah kerana duit belum dapat. Sementara beberapa orang alim dengan ilmu agama telah menyebarkan maklumat di seluruh negeri Kedah bahawa saya makan duit wat, saya makan duit sami. Sehingga begitu rupa mereka menuduh orang yang menyelamatkan peruntukan tersebut. Seolah-olah saya tak ada kebaikan langsung. Beberapa orang termasuk Tuan DK juga meluahkan perasaan terhadap saya melalui forum PEKEMAS.

Bila peruntukan RM43k telah menjadi isu besar dan menjejas nama baik saya, saya nekad untuk menyimpan wang tersebut dalam akaun PEKEMAS untuk dijadikan bahan bukti di Mahkamah sekiranya ada pihak membuat laporan kepada SPRM. Sekiranya saya agihkan duit itu kepada pihak wat, saya dianggap melanggar surat perjanjian dengan EXCO. Dan jika kes ini dibawa ke muka pengadilan, sukar untuk saya heret sami ke mahkamah sebagai saksi. Oleh itu, lebih baik wang tersebut terus berada dalam akaun PEKEMAS.

Pada 19 Julai 2009, pihak EXCO Kerajaan Negeri Kedah telah memanggil saya dan beberapa orang ahli jawatankuasa PSK. Beliau ingin mendapat penjelasan daripada saya tentang isu ini. Setelah saya memberi penjelasan terperinci tentang isu ini, barulah beliau faham kedudukan sebenar tentang isu ini. Beliau juga melahirkan perasaan simpati kepada saya. Tujuan utama saya hanya ingin membantu menyelamatkan wang tersebut tetapi saya dihina sebegitu rupa.

Beliau akan mengarahkan pejabat SUK mengeluarkan satu surat kepada saya untuk mengatasi masalah ini. Pihak EXCO Kerajaan Negeri Kedah ingin mendapat balik peruntukan tersebut. Saya akan serah balik peruntukan tersebut kepada pihak EXCO Kerajaan Negeri Kedah dengan syarat ada surat hitam putih daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah. Saya akan memegang surat tersebut sebagai bukti bahawa saya tak makan duit wat dan saya tak makan duit sami seperti yang didakwa. Pihak Jawatankuasa Hal Ehwal Khas Masyarakat Siam Kedah yang akan dilantik daripada 8 pemimpin PSM dan 8 pemimpin PSK akan membuat keputusan bagaimana hendak membelanjakan peruntukan tersebut.

Selama 13 tahun, saya terlibat dalam pergerakan NGO dan aktiviti kemasyarakatan, kerajaan BN tidak pernah meminta balik peruntukan yang telah disalurkan kepada rakyat. Kerajaan BN memberi ruang untuk rakyat membuat keputusan sendiri melalui organisasi yang disertainya. Sebab setiap organisasi yang berdaftar mempunyai undang-undangnya tersendiri. Inilah kali pertama saya menghadapi masalah ini. Kerajaan PR sanggup mengambil balik wang tersebut untuk diurus sendiri. Seolah-olah kami ini merupakan satu jambatan untuk menyalurkan dana. Silap langkah, saya akan teraniaya dengan teknik mereka. Saya campur tangan hal ini bukannya saya menyokong kerajaan PR. Saya cuma ingin menyelamatkan peruntukan yang disalurkan kepada masyarakat Siam Kedah daripada peruntukan itu lupus begitu saja.

Thursday, July 16, 2009

Lawatan kerja PM ke Kedah.


JITRA: Saya telah membawa kumpulan gendang panjang PEKEMAS untuk menyambut ketibaan PM ke Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah pada 13 Julai 2009.

Kumpulan gendang pelbagai kaum gabungan Melayu, Cina, India dan Siam telah memainkan paluan gendang rentak Gendang Bersatu. Berpandu kepada gendang silat, kumpulan gendang pelbagai kaum memainkan rentaknya masing-masing secara serentak dan bersepadu.

Lebih kurang 15,000 orang hadir dalam majlis tersebut. Kelihatan beberapa orang menteri kabinet juga hadir. Beberapa pemimpin masyarakat Siam juga hadir. Antaranya ialah pengerusi JKKKP dari daerah Kuala Muda, Sik, Kubang Pasu, Pendang dan Padang Terap.
Keadaan ini dapat membayangkan bahawa orang ramai dah mula yakin dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri. Ramai pihak meramalkan bahawa dalam Pilihanraya Umum Ke 13, BN akan berjaya merampas semula negeri-negeri yang dimenangi oleh parti pembangkang.

Kumpulan gendang panjang PEKEMAS sedang bersiap sedia menyambut ketibaan YAB Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Kelihatan En. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK berada bersama-sama YB Dato' Mukriz Tun Dr. Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
En. Tang a/l Edam, Bendahari PSK sedang berbisik setuju dengan YB Dato' Seri Hj. Mohd. Shafie Bin Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah. Seorang lagi ialah En. Badrul Hisham, Pengerusi Pemuda BN Negeri Kedah.
Persembahan acara sambutan dengan paluan gendang bersatu dimulakan apabila mendapat isyarat ketibaan YAB Perdana Menteri ke Dewan Wawasan.
YAB Perdana Menteri sampai tepat jam 3.45 petang dan disambut oleh para VVIP yang tunggu sejak jam 2.00 petang lagi.
Para wartawan tidak melepaskan peluang dan berebut-rebut untuk mendapatkan gambar-gambar menarik YAB Perdana Menteri ke Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Wawasan Jitra, Kedah pada 13 Julai 2009.

Monday, July 13, 2009

Keluhan Pemimpin Siam peringkat kampung.

Semalam, saya dihubungi beberapa ketua-ketua kampung dan ketua cawangan persatuan Siam. Mereka meluahkan perasaan tidak puashati mereka terhadap pemimpin atasan. Katanya pemimpin atasan mengugut serta menghina mereka selaku Tok Ketua Kampung.

Saya pula tanya, apahal. Ceritanya tentang perancangan pemimpin atasan untuk meraikan pengurniaan darjah kebesaran daripada Agong untuk memaklumkan kepada orang Siam seluruh negara bahawa pemimpin atasan tersebut sudah ada title Datuk.

Setiap pemimpin kampung yang juga merupakan ketua cawangan persatuan siam diwajibkan membayar kos majlis tersebut berdasarkan meja makan. Mana-mana pemimpin yang tidak berminat untuk hadir pun diwajibkan membayar juga. Sekiranya tak bayar maka peruntukan yang telah diberi sebelum ini kepada cawangan2 persatuan siam akan ditarik balik.

Saya rasa memaksa orang untuk meraikan seseorang pemimpin adalah tidak beberapa elok. Saya rasa pemimpin tersebut berkemampuan untuk menganjurkan majlis tersebut tanpa menyusahkan orang-orang kampung. Harap bertimbang rasalah sedikit tentang kesusahan orang kampung dalam keadaan harga getah sekerap yang murah ditambah pula hujan turun menyebabkan orang kampung tak boleh pergi menoreh.

Penulisan saya ini adalah untuk menyuarakan pandangan dan luahan pemimpin-pemimpin bawahan sahaja. Tidak ada niat untuk menghina atau menjatuhkan sesiapa yang tidak sehaluan dalam arus politik masa kini.

Sunday, July 12, 2009

100 Hari Najib Bersama Rakyat: 1 Hari PSK Bersama Najib.

Pada 10.7.2009 malam saya bersama En. Reang a/l Huan, Pengerusi JKKKP Kg. Tok Set merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Siam Pendang yang juga AJK Bahagian UMNO Pendang, En. Som Mad a/l Iruang, Ketua Pemuda UMNO Kg. Tok Set dan anak saya bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam dengan menaiki kereta saya. En. Anek, Pengerusi JKKKP kg. Kalai bersama jawatankuasanya juga turut serta pergi bersama-sama kami. Sementara pemimpin PSK dari daerah Padang Terap dan Kubang Pasu mereka telah bertolak lebih awal.

PSK telah dijemput untuk menghadiri Majlis Meraikan 100 Hari Najib Bersama Rakyat di KLCC pada 11.7.2009 jam 10.00 pagi. Seramai lebih kurang 30 orang pemimpin PSK menghadiri ke majlis tersebut dengan menaiki kereta masing-masing. Pemimpin-pemimpin PSK dari Daerah Padang Terap agak bernasib baik sikit kerana mereka mendapat sponsor daripada orang kuat UMNO Bahagian Padang Terap. Mereka di beri penginapan di hotel bertaraf 5 bintang dan jamuan makan malam. Antara pemimpin PSK dari kalangan Pengerusi JKKKP ialah dari Kg. Padang, Kg. Rambai, Kg. Chang Deng, Kg. Lamdin, Kg. Kalai dan Kg. Tok Set.

Saya bersama rakan-rakan yang lain sampai di KLCC lebih kurang jam 8.30 pagi. Sebelum tu, kami berhenti di Hentian Jejantas Sungai Buluh untuk sarapan pagi, mandi dan tukar pakaian. Maklum la kami tidak mendapat tajaan mana-mana pihak macam pemimpin PSK dari daerah Padang Terap.

Suasana di kawasan KLCC pada masa itu kelihatan ramai orang mula bergerak masuk ke dewan. Saya bersama anak sulung saya pun masuk ke dewan. Susunan kerusi dalam dewan adalah sama taraf, tiada protokol. Siapa datang lewat, duduklah di atas lantai. Sebab itulah, ramai para menteri duduk atas lantai bersama kanak-kanak. Mungkin inilah dikatakan 1Malaysia, Rakyat diutamakan. Semasa majlis makan tengahari pun tak ada protocol. Para menteri pun perlu berbaris untuk mendapatkan makanan sendiri.

Seterusnya saya menghubungi Pegawai Khas Kepada PM untuk memaklumkan kehadiran kami. Saya berbincang dengan beliau bagaimana cara-cara supaya kehadiran masyarakat Siam Kedah dirasai oleh PM dan juga semua orang. Dengan kerjasama Pegawai Khas Kepada PM, akhirnya juruacara iaitu Azly dan Pang Chinn Fei mengumumkan kehadiran kami ke majlis tersebut sebelum majlis tersebut dimulakan. Semasa ucapan PM pula, YAB Perdana Menteri mengumumkan kehadiran masyarakat Siam dari Kedah sebanyak 2 buah bas ke majlis ini. Ucapan beliau disiarkan secara langsung melalui RTM. Saya rasa tak sia-sia kami datang dari jauh untuk bersama-sama meraikan hari yang bersejarah dan kehadiran kami dirasai oleh pucuk pimpinan Negara.

Semasa keluar dari dewan anak saya tunjuk kepada saya, seseorang yang dia pernah tengok kat TV iaitu YB Datuk Hishamudin, Menteri Dalam Negeri. Dia minta kebenaran saya untuk pergi mendapatkan tandatangan menteri tersebut. Dengan berbekalkan buku kecil 1Malaysia yang diedarkan, dia pergi seorang diri jumpa menteri tersebut dan minta tandatangan. Peristiwa dia minta tandatangan daripada seorang menteri kabinet merupakan kenangan manis untuknya sampai bila-bila. Saya akan pastikan dia simpan buku kecil 1Malaysia yang ditandatangan oleh YB Datuk Hishamudin sebagai kenangan peribadinya.

Dalam perjalanan pulang ke Kedah, kami berbincang dan bertekad akan cuba sedaya upaya memperkukuhkan lagi peranan PSK dalam usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat Siam di Kedah khususnya dan di Malaysia amnya.

Wednesday, July 8, 2009

Pemimpin PSK Ke Majlis Sehari Bersama PM.

Persatuan Siam Kedah (PSK) telah mendapat jemputan khas ke Majlis Sehari Bersama PM di KLCC, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2009 jam 10.00 pagi.

Pihak kami telah menerima jemputan itu semalam daripada Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Kami diminta menghantar seramai 50 orang pemimpin daripada masyarakat Siam ke majlis tersebut. Ini merupakan jemputan khas kepada pemimpin-pemimpin masyarakat Siam melalui PSK daripada pemimpin tertinggi negara.

Majlis tersebut akan dihadiri seramai lebih kurang 1,000 orang pemimpin daripada seluruh negara bagi mewakili pelbagai kaum. Ini merupakan julung kali YAB Perdana Menteri mengadakan majlis seumpama ini. Pihak PSK akan menghimpun seramai 50 orang pemimpin untuk ke majlis tersebut secara berkonvoi dengan kenderaan sendiri. Perbelanjaan minyak petrol dan tol akan diusahakan oleh PSK. Team PSK akan bertolak pada 10.7.2009 jam 9.00 malam dari R&R Juru. Semua kereta akan berhimpun di R&R Juru sebelum bertolak beramai-ramai.

Saya pasti mesti ada pemimpin akan cuba mengambil kesempatan mengatakan rombongan ini adalah rombongan mereka. Untuk mempromosi dirinya sebagai kredit melobi jawatan senator. Tujuan PSK bukannya untuk tujuan melobi jawatan senator tetapi untuk menunjukkan taat setia masyarakat kita kepada pemimpin negara. Saya harap kepada mana-mana pemimpin yang cuba hendak menahan perangkap jarang, harap ubahlah fikiran. Orang Siam la ni dah pandai memikir, siapa yang bekerja dan siapa yang mengambil kesempatan.

Semoga masyarakat Siam Kedah akan bersatu semula di bawah payung PSK.