Friday, February 27, 2009

Penulisan yang lahir daripada perasaan sebenar.

Semua penulisan saya adalah lahir daripada perasaan saya yang sebenar. Saya hanya menulis tentang pengalaman yang saya benar-benar alami. Tak kisahlah artikel tersebut pahit atau manis, saya tetap akan menulisnya.

Ada ramai pengunjung lebih suka baca artikel yang menyedapkan hati mereka sahaja. Terus terang saya katakan, saya menulis mengikut hati nurari saya sahaja. Saya tak kisah apa pandangan para pengunjung terhadap penulisan saya. Kalau rasa segan nak baca, tak perlu anda rugikan masa. Anda tak sakit hati dan saya juga tak rugi apa-apa.

Saya tak pandai berlakon macam orang lain. Benar saya kata benar dan salah saya katakan salah. Ada orang tulis artikel seolah-olah macam alim ulamak, tapi perangai sebenar macam penyangak. Saya lebih suka cara Din Kheng menyampaikan mesej, tepat kepada sasaran.

Biarlah saya seorang bertindak sebagai lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain. Kalau anda baca artikel saya, itulah perangai dan pendirian saya yang sebenar. Saya bukannya mewujudkan permasalahan dalam masyarakat Siam. Saya cuma ingin membawa masyarakat Siam yang minoriti ini keluar dari bawah tempurung. Di mana salah seorang bekas Senator kita pernah menggelarkan masyarakat Siam berada di bawah tempurung dalam satu majlis meraikan perlantikannya sebagai Ahli Dewan Negara di Hotel Sentosa, Alor Setar, Kedah pada tahun 2003.

Fikirlah sendiri, mana baik dan mana buruk.

Tugas Khas di DUN Bukit Selambau..

Saya diarah bertugas Khas di DUN Bukit Selambau sejak 25.2.2009 hingga 3.3.2009. Tugas khas tersebut berkenaan persiapan pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 7.4.2009. Penamaan calon PRK DUN Bukit Selambau akan diadakan pada 29.3.2009.

Harapan saya ingin bertugas di kawasan masyarakat Siam iaitu di Pekan Bukit Selambau dan Kampung Padang Sekawan sebab hanya saya seorang sahaja Jejaka Siam Terakhir dalam jabatan yang saya bertugas. Tetapi harapan saya meleset apabila ditugaskan di kawasan estet iaitu kawasan majoriti kaum India.

Thursday, February 26, 2009

Perasmian Perpustakaan Desa Kg. Tok Set dan Titi Akar.

PEKEMAS telah dijemput menganggotai Jawatankuasa Penganjuran Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Desa Kampung Tok Set dan Kampung Titi Akar di Wat Titi Akar pada 21.2.2009 jam 3.00 petang.

PEKEMAS dipertanggungjawabkan tentang persembahan gendang panjang sambutan dan juga persembahan Tarian Tradisional Siam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ybhg. Datuk Halim, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Turut hadir ialah YB Puan Suraya Yaakob, ADUN Sungai Tiang dan Ven. Than Chau Khun Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis.


Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis sudi merasmikan Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam

Semalam saya bersama Jawatankuasa PEKEMAS telah pergi menjemput Than Chau Khun Maison, Ketua Sami Kedah/Perlis untuk hadir merasmikan Bangunan Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam di Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 28.2.2009.

Beliau tidak dapat hadir kerana pergi ke Indonesia pada 25.2.2009 hingga 3.3.2009. Beliau meminta saya menjemput Than Chau Khun Praimai untuk mewakili beliau.

Than Chau Khun Praimai, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis sudi hadir untuk merasmikan bangunan tersebut. Saya mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua penggiat seni kebudayaan Siam di seluruh negeri Kedah hadir beramai-ramai. Jamuan makan tengahari disediakan untuk semua tetamu.

Tuesday, February 24, 2009

Komen face to face mengenai forum website.

Semalam saya bersama orang tua saya mengedar surat jemputan ke majlis perkahwinan adik saya kepada saudara mara. Kami mengambil keputusan untuk ke kampung jauh dahulu iaitu Kg. Tas, Pegang, Baling dan Tasek.

Setibanya saya di Kg. Tasek, saya pun pergi la satu per satu ke rumah saudara mara saya termasuk rumah Tok Penghulu Mukim Belukar Semang. Setibanya di rumah Tok Ketua Kampung Kerajaan PR, kami dijemput untuk minum dulu. Maklumlah dah lama isteri tuan rumah tak berjumpa dengan saudaranya dari Kg. Padang Pusing. Sementara si suaminya memang saya dah lama kenal sejak sebelum saya bertugas di daerah Pengkalan Hulu lagi.

Kami pun bersembanglah bab-bab politik. Maklumlah dia juga orang politik setelah pencen sebagai guru besar. Beliau dilantik jadi JKKK kerajaan PR di Perak. Maka sembang pi sembang mai, dia mulalah komen bab forum dalam internet. Beliau maklum kepada saya bahawa beliau pernah baca komen dalam forum tersebut. Beliau menyatakan perasaan tak puashati tentang komen sesetengah ahli forumer yang tak mementingkan kesannya terhadap masyarakat kita. Saya tanya, ahli forumer mana yang beliau cukup tak puashati. Saya rasa beliau juga tak puashati dengan saya tapi segan nak cakap di hadapan saya.

Lalu beliau menjawab, beliau cukup tak puashati cara ahli forumer yang bernama Pek Lai komen melalui forum. Tambah beliau lagi, Pek Lai tu rasanya orang dari Perlis. Saya dengan rasa gatai mulut lalu memberitahu secara selamba, Pek Lai tu orang Kg. Tasek. Beliau terkejut dan tanya saya lagi, siapa Pek Lai. Saya gatai mulut lagi, lalu menjawab Pek Lai tu anak tuan la. Akhirnya kami tukar topik perbincangan. Oleh kerana hari semakin gelap maka saya pun minta diri untuk pulang ke Padang Pusing.

Monday, February 23, 2009

Banci Masyarakat Siam Daerah Padang Terap

Saya telah diarah untuk bertugas di daerah Padang Terap sejak 17.2.2009 hingga 24.2.2009 untuk membuat kajian tentang sikap pengundi terhadap parti politik bagi persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Kecil Bukit Selambau pada 29.3.2009 hingga 7.4.2009.

Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat banci masyarakat Siam di daerah ini. Dengan bantuan Sdr. Tang a/l Edam, saya berjaya menemuramah semua pengerusi JKKKP di perkampungan Siam di daerah ini.

Daerah ini mempunyai 14 buah perkampungan Siam antaranya ialah:
1. Kampung Tanah Merah - 380 orang
2. Kampung Tanjung (Thai) Mk. Pedu - 1050 orang
3. Kampung Padang Senai - 68 orang
4. Kampung Baru Naka - 720 orang
5. Kampung Chang Deng - 434 orang
6. Kampung Lamdin - 564 orang
7. Kampung Tandop - 205 orang
8. Kampung Lubuk Rambai - 350 orang
9. Kampung Padang - 285 orang
10. Kampung Sungai Kap - 328 orang
11. Kampung Sungai Long - 156 orang
12. Kampung Sungai Pisang - 31 orang
13. Kampung Tapang - 69 orang
14. Kampung Kuala Beris (sebahagian) - 43 orang
15. Lain-lain tempat di daerah ini - Tiada maklumat

Antara masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam di daerah ini ialah:
1. Bekalan air semasa musim kemarau.
2. Penempatan baru.
3. Projek PPRT tidak mencukupi.
4. Masalah sijil Pertanian Orang-orang Siam.
5. Masalah tanah belum ada geran.
6. Masalah kemudahan asas.
7. Peruntukan kerajaan terutamanya dari segi kebajikan tidak sampai kepada masyarakat Siam.
8. Tiada peruntukan bantuan modal sekolah bahasa Siam.
9. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah iaitu EXCO yang dilantik kerajaan negeri tidak memahami kehendak orang-orang Siam.
10. Perbezaan politik di kalangan orang-orang kampung.

Sunday, February 22, 2009

Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.

Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah akan dirasmikan pada 28.2.2009.

Aturcara Majlis

27.2.2009 (Jumaat)
- Gotong-royong membersihkan kawasan dan mendirikan khemah.
- Sebelah malam persiapan terakhir di rumah Nai Chai (guru Menora).

28.2.2009 (Sabtu)
- Gotong-royong menyediakan makanan untuk Jamuan makan tengahari.
- Nimon Phra Suat Phorn (Upacara Keagamaan).
- Jamuan makan tengahari.
- Majlis Penyerahan Kostium Menora oleh Pegawai Jabatan Warisan Seni dari KL.
- Majlis Dialog bersama wakil Pusat Kebudayaan ASEAN dari Thailand dengan PEKEMAS.

Wednesday, February 18, 2009

Misi mencari dan menyelamat adik Tan Hui Ming telah berjaya.

PSK telah berjaya menjalankan Misi Mencari dan Menyelamat adik Tan Hui Ming gadis Siam dari Kampung Chong, Sik, Kedah yang telah diculik oleh warga Myanmar sejak 30.12.2008. Mangsa telah berjaya ditemui di Myanmar manakala suspek telah ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar.

Dua hari lepas, pihak Wisma Putra Kuala Lumpur telah menghubungi bapa mangsa. Bapa mangsa telah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapat maklumat lanjut. Saya dimaklumkan bahawa mereka telah berjaya menemui adik Tan Hui Ming dan dalam usaha untuk ektradisi balik ke Malaysia.

Bapa mangsa akan pergi ke Myanmar dalam waktu terdekat setelah semua dokumen dan prosedur telah siap. Saya juga difahamkan bahawa pihak YBhg. Datuk Abdul Azeez, Ketua Sekretariat Penyelamat Pemuda UMNO Malaysia akan membantu dalam perkara ini termasuk semua kos perbelanjaan.

Monday, February 16, 2009

Menerima anugerah daripada Menteri Kebudayaan.

Pada 15.2.2009, saya selaku Pengerusi PEKEMAS telah membawa satu kumpulan kebudayaan Siam ke Program Merakyatkan Seni anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah.

Saya juga telah diberi sijil anugerah penggiat seni dan satu set custium Menora daripada YB Dato' Seri Hj. Mohd Shafie Hj. Afdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dalam majlis tersebut.




Friday, February 13, 2009

Siapakah layak, digelar pemimpin belia Siam?

Pada 6.2.2009 YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia telah merasmikan Program Pelancaran Rakan Muda Kg. Etnik Siam di Wat Padang Pusing. Dalam majlis tersebut YB Menteri Belia dan Sukan telah menyampaikan Sijil Pendaftaran Persatuan Belia Siam Malaysia kepada wakilnya.

Semalam, seorang Jawatankuasa Penaja PBSM menghubungi saya dan memaklumkan bahawa mereka tidak tahu menahu tentang program penyerahan sijil pendaftaran PBSM di Wat Padang Pusing. Mereka juga mendakwa bahawa mereka telah ditipu oleh pemimpin federal. Pemimpin Federal telah mewakilkan Bendahari Agungnya menerima sijil itu daripada YB Menteri Belia dan Sukan agar kepimpinan belia Siam berada dibawah pengaruh mereka.

Tujuan sebenar kepimpinan PBSM baru adalah membantu aktiviti Ruamthai untuk menganjurkan seminar tetapi telah dirampas oleh ahli politik. Dengan peruntukan RM30,000 setahun akan memudahkan Ruamthai menganjurkan Seminar tahunannya tanpa perlu minta derma daripada mana-mana pihak. Kebanyakkan Jawatankuasa Penaja PBSM adalah bekas ahli Ruamthai yang bermesyuarat di Kg. Olak Madu. Sekarang mereka hanya boneka sahaja.

Saya dah berundur daripada pergerakan belia. Golongan seterusnya haruslah berani bersuara, jangan biarkan pihak yang berkepentingan mempergunakan belia Siam hari ini.

Tuesday, February 10, 2009

Pemimpin PSK tetap menghormati dan menyanjung tinggi Ven. Ketua Sami Kedah/Perlis.

Para pemimpin Persatuan Siam Kedah (PSK) menghormati dan menyanjung tinggi kepada Y.Bhg. Phraraj Thammathada, Ketua Sami Kedah/Perlis. Beliau juga merupakan ketua agama dan juga icon kepada perpaduan masyarakat Siam negeri Kedah dan Perlis.

Pada 26.1.2009, satu rombongan daripada ahli Jawatankuasa PSK yang diketuai oleh Sdr. Bun Yin a/l Ai An telah pergi menziarahi beliau di Wat Thepbandit, Kg. Paya Mak Inson, Pendang, Kedah bagi memaklumkan tentang kes penculikan adik Tan Hui Ming oleh warga Myanmar sejak 31 Disember 2008.

Semasa kami berangkat pulang, Than Chau Khun sempat memesan sekiranya ada apa-apa berlaku dalam masyarakat haruslah memaklumkan kepada beliau. Ini menunjukkan bahawa beliau mengambil berat tentang permasalahan yang berlaku dalam masyarakat Siam di negeri Kedah.

Monday, February 9, 2009

Pintu Sempadan Kota Putra Malaysia - Thailand.

Bergambar kenangan di tepi Gate Malaysia - Thailand. Di belakang saya adalah negara Thailand.

Hari ini, saya bersama-sama rombongan JKPKP Negeri Kedah telah melawat ke pintu sempadan Malaysia - Thailand di Kampung Durian Burung, Padang Terap, Kedah yang dikenali sebagai Kota Putra. Pembangunan Bandar Sempadan Kota Putra berkonsepkan agro-pelancongan dan pertanian berskala besar dan komersial, di samping mewujudkan bandar sempadan kedua di negeri Kedah.

Projek Kota Putra telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kedah pada 21 November 1998. Projek ini adalah sebahagian Pelan Struktur Daerah Padang terap 2002 - 2012 yang dijangka akan memacu pembangunan daerah Padang Terap.

Kota Putra telah diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1 Mei 2003 sebagai Pos Kawalan Imigresen dan Pintu Masuk yang dibenarkan bagi maksud kemasukan ke Malaysia. Projek ini telah diterima sebagai satu projek 'Joint Development Strategy' Malaysia - Thailand pada ogos 2004.

Saya difahamkan di sebelah Thailand sudah siap iaitu di Ban Pra Korb. Di sana adalah satu kawasan penempatan lebih kurang 3,000 orang penduduk. Semua prasarana sudah ada termasuk pondok polis dan klinik. Mereka hanya keluar modal tak besar, cuma letak 2 kontena di kedua-dua belah jalan untuk cop passport atau pass sempadan.

Kos projek Pintu Sempadan Kota Putra ini ialah RM95.3 juta. Dijangka Mac ini diserahkan kepada pihak kerajaan. Jika tiada aral melintang maka ia dijangka dibuka pada Mei 2009.





Sunday, February 8, 2009

Lawatan YB Menteri Belia dan Sukan Ke Wat Padang Pusing, Pendang, Kedah.


(Sdr. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi Persatuan Siam Kedah mengiringi YB Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaacob, Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan YB Puan Suraya, ADUN Sungai Tiang)

YB Menteri Belia dan Sukan telah membuat lawatan ke Wat Padang Pusing, Pendang, Kedah pada 6.2.2009 jam 10.00 pagi (kebetulan tarikh harijadi saya).

Pihak JBS Kedah telah meminta kerjasama semua NGO dalam masyarakat Siam sebab pihak Majlis Belia Negeri tolak untuk menganjurkan program tersebut kerana dalam masa 7 hari mustahil untuk menganjurkan program di peringkat kebangsaan. Oleh kerana melibatkan masyarakat Siam maka saya setuju untuk memberi kerjasama kepada JBS Kedah. Kami dipanggil ke Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan di Pendang Lake Resort pada 31.1.2009.

Setelah berbincang dengan Setiausaha JKKKP Kg. Padang Pusing maka pada 3.2.2009 saya memanggil mesyuarat semua pengerusi JKKKP seluruh Kedah di Wat Padang Pusing pada jam 8.30 malam. Pada jam 3.00 petang pihak JBS Kedah memanggil mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras di Pendang Lake Resort. Saya dimaklumkan oleh Pegawai Belia dan Sukan bahawa pihak pemimpin Federal juga panggil mesyuarat di Wat Padang Pusing pada jam 3.00 petang. Kebetulan sama masa dengan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras program JBS Kedah di Pendang Lake Resort.

Setiausaha JKKP Kg. Padang Pusing meminta pemimpin Federal untuk batalkan mesyuarat jam 3.00 ptg dan kita gabungkan mesyuarat hanya sekali pada jam 8.30 malam. Satu program tak sesuai diadakan 2 mesyuarat dari kumpulan yang berbeza pada tarikh dan tempat yang sama. Tambahan pula, kami selaku tuan rumah akan menghadiri mesyuarat JBS Kedah pada jam 3.00 ptg. Mereka enggan dan terus dengan niat mengadakan mesyuarat tersebut. Setelah kami selesai mesyuarat, saya bawa pegawai belia untuk melawat tapak di Wat Padang Pusing. Pegawai belia memaklumkan kepada saya bahawa pemimpin Federal melarang mereka bekerjasama dengan saya.

Pada hari program diadakan, pemimpin tersebut sekali lagi mengkritik saya melalui ucapan beliau di atas pentas. Saya tak kisah dan hanya tumpu kepada tugas saya supaya program tersebut tidak cacat cela yang boleh merosakkan imej masyarakat Siam umumnya dan penduduk Kg. Padang Pusing khasnya. Selepas program. pegawai belia telah menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih kepada saya di atas kerjasama. Beliau juga tanya kepada saya, adakah saya perasan dengan mesej yang disampaikan oleh pemimpin Federal semasa ucapan. Saya jawab faham, dan saya tak ambil posing. Beliau nasihat saya supaya bersabar dan JBS Kedah akan bekerjasama lagi dengan saya di masa akan datang.



Monday, February 2, 2009

Pertama kali dalam sejarah Menteri Belia jumpa masyarakat Siam.

YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia akan merasmikan Rakan Muda Kampung Baru (Siam) di Wat Thamkhiriwong, Kg. Wat Padang Pusing, Pendang, Kedah pada 6.2.2009 mulai jam 10.00 pagi - 12.00 tgh.

Ini merupakan kali pertama sejak negara kita mencapai kemerdekaan yang ke 52, Menteri Belia dan Sukan Malaysia sudi berjumpa dengan belia Siam.

Saya selaku pengasas Persatuan Belia Thai Malaysia sejak 12 tahun dahulu dan pernah menjadi Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia dan pernah menjadi Ahli Majlis Perundingan Belia Negara sejak 1999,, Menteri belia tidak pernah ada perancangan untuk menziarahi belia Siam di Malaysia. Terima kasih kerana hadir, tetapi sayangnya masa untuk membuat perancangan terlampau singkat. Menteri hadir pun dalam keadaan tergesa-gesa macam hendak mengejar waktu.

Beliau datang ke perkampungan Siam setelah saya hampir putus asa dengan perjuangan belia, tambahan pula umur saya dah hampir senja dalam kategori belia. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi. Tetapi sayangnya saluran PBTM tidak diambil kira sejak 12 tahun ditubuhkan. Tidak kesal saya dan kawan-kawan dalam PBTM mengambil keputusan tidak akan mendaftar semula dengan KBS.

Maklumat yang saya dapat, mengatakan ada pihak lain berminat untuk menubuh semula Persatuan Belia Siam Malaysia. Teruskanlah jika niat baik untuk membantu masyarakat terutamanya golongan belia Siam.

Sunday, February 1, 2009

Pertembungan antara 2 Panglima yang agak melucukan.

Dalam menghadapi gelombang perubahan dalam pemikiran rakyat yang berbeza-beza, macam-macam aktiviti yang dirancangkan oleh ahli-ahli politik secara drastik untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu.

Para menteri melaksanakan program drastik mungkin untuk berkempen bagi menghadapi pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO mac depan. Sementara ahli politik bawahan nak tunjuk bahawa merekalah yang berjasa membawa menteri itu turun berjumpa rakyat.

Pada 31.1.2009 lepas satu Mesyuarat Penyelarasan Majlis Perasmian Rakan Muda Kampung Baru (Siam) telah diadakan di Pendang Lake Resort. Presiden PSM, Pengerusi PSK dan Pengerusi PEKEMAS telah dijemput ke mesyuarat tersebut. Begitu juga dengan pengerusi-pengerusi JKKKP di sekitar daerah Pendang. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YB Suraya, ADUN Sungai Tiang.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia akan melawat Kampung Siam Padang Pusing, Pendang, Kedah pada 6.2.2009 jam 10.30 pagi dan seterusnya ke daerah Sik. Tujuannya adalah serampang 2 mata,, pertama untuk berkempen di kalangan G7 untuk pertandingan Ahli MT UMNO dan kedua untuk menarik belia-belia bukan Melayu sokong kerajaan pada PRU ke 13.

Bekas senator kita mendakwa dialah berusaha membawa turun menteri tersebut jumpa belia-belia Siam di Kampung Padang Pusing. Dia cerita bab dia jumpa menteri kat Parlimen la dan dia juga cerita pengalamannya 18 tahun dalam politik la. Dia juga cakap mewakili Presiden PBSM bagi mewakili belia Siam dan mencadangkan Menteri Belia membuat penyerahan sijil pendaftaran Persatuan Belia Siam Malaysia kepada Presidennya iaitu Mr. Vinai. Setahu saya semua yang hadir mesyuarat tersebut umurnya hampir 50 tahun dan ada yang 50 tahun lebih kecuali saya berumur 39 tahun yang masih boleh dikategori sebagai belia lagi.

Tambahan pula, saya merupakan Presiden PBTM dan hadir dengan memakai uniform PBTM. PBTM masih wujud, sijil pendaftaran ada kat saya. Macam mana menteri nak serahkan sijil tersebut kepada wakil Presiden Persatuan Belia Siam yang mereka dakwa itu. Agak melucukan semua ahli mesyuarat. YB Pengerusi batalkan slot ini dan cadangkan kepada bekas senator serahkan borang pendaftaran persatuan belia siam kepada menteri dulu.

Sehingga ada pegawai belia daerah Pendang hantar memo kecil kepada YB Suraya, cantas perbincangan tersebut. Saya dengan Pengerusi PSK tak mahu ambil bahagian dalam perbincangan tersebut bagi mengelakkan pemimpin2 masyarakat Siam yg hadir ke mesyuarat tersebut bertambah malu. Walaupun saya tahu bahawa orang yang layak cakap bab belia ialah saya.
Sebagai penutup calon senator ke 3 kita merayu semua pemimpin masyarakat Siam yang hadir ke mesyuarat tersebut membantu mengutip derma untuk bantuan mangsa perang Palestin dan serah kepada Kerajaan Negeri sebelum 5.2.2009. Inilah yang mengelirukan, apakah pendirian pemimpin pelapis kita. Di pentas kerajaan BN tapi cakap tentang usaha kerajaan PR. Sehingga memaksa YB Pengerusi menjelaskan sesuatu..